Ibu bapa gesa kementerian larang lato-lato dibawa ke sekolah

Lato lato adalah permainan yang diperkenal sekitar tahun 60-an dan 70-an di Amerika Syarikat dan kini menjadi kegemaran penduduk Indonesia sebelum ia tular ke negara ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi


ALOR SETAR: Permainan lato lato yang semakin popular dalam kalangan pelajar di negara ini, perlu dikawal kerana dikhuatiri mendatangkan mudarat terutama kecederaan kepada murid sekolah rendah. 

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad, berkata pihak sekolah dan ibu bapa perlu mengawal anak daripada bermain permainan itu termasuk melarang ia dibawa ke sekolah. 

"Permainan lato lato ini baharu bermula di negara ini, namun kita kesan ia sudah menular ke sekolah. Kita harap ia dikawal terlebih dahulu kerana permainan ini mengeluarkan bunyi bising dan bingit, ia juga wajar dilarang dibawa ke sekolah. 

"Apa yang kita bimbang lato lato ini mempunyai ladung yang berat, jadi jika ia terkena muka pelajar maka akan mencederakan. Disebabkan itu kita harap ibu bapa dan pihak sekolah pantau perkara ini," katanya ditemui di sini, semalam. 

Zainol Abidin yang juga Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berkata semua pihak perlu memainkan peranan untuk fokus kepada kecemerlangan akademik pelajar setelah penularan COVID-19 dilihat menjejaskan prestasi mereka. 

"Banyak isu di sekolah sekarang, ada pelajar yang tidak boleh baca lagi di sekolah walaupun sudah masuk Tahun Tiga dan ketiadaan peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) menyebabkan pelajar terlalu leka. 

"Ketika ini semua guru bekerja keras mengejar kembali silabus yang ketinggalan ketika penularan COVID-19 dahulu, pelajar pula apabila tidak ada peperiksaan menjadi lalai dan tidak mahu belajar. Jadi kita tak mahu ada gangguan perkara lain pula," katanya. 

Lato lato adalah permainan yang diperkenal sekitar tahun 60-an dan 70-an di Amerika Syarikat dan kini menjadi kegemaran penduduk Indonesia sebelum ia tular ke negara ini. 

Sementara itu, Najmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang berkata, kerajaan negeri akan berbincang bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk mengenal pasti langkah terbaik menyelesaikan isu berkenaan. 

"Setakat ini, saya dimaklumkan tiada larangan permainan ini di sekolah, tetapi saya akan berbincang dengan JPN Kedah. Kita turut bimbang jika ada pelajar cedera akibat permainan ini. 

"Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat kepada pelajar menuntut ilmu, jadi kita harap ibu bapa dapat pantau anak mereka termasuk elak permainan ini dibawa ke sekolah," katanya.

 

Previous Post Next Post