Pegawai Pendidikan Daerah perlu dilantik anggotai MPPK

Imej hiasan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada 19 Januari lalu mengumumkan barisan anggo- ta Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK). Sekilas pandang, kita dapat menerima pelantikan sembilan personaliti pendidikan yang disenaraikan. Semuanya pakar dalam bidang masing-masing.

Bagaimanapun, terdapat sedikit kekurangan dari segi anggota yang mewakili pentadbiran peringkat daerah. Anggota itu seharusnya mereka yang pernah memegang jawatan pegawai pendidikan daerah (PPD).

Hal ini disebabkan fungsi dan peranan MPPK amat besar dan tidak boleh silap dalam pemberian nasihat kepada Menteri Pendidikan dan pengurusan tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Justeru, keanggotaannya perlu lebih menyeluruh dan mewakili semua peringkat yang terbabit dalam pentadbiran pendidikan.

Berdasarkan fakta, terdapat lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dengan lebih 400,000 guru. Dari segi lokasi dan demografi pula terdapat kepelbagaian.

Justeru, isu dan masalah sekolah amat rencam. Selain kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, masalah guru, murid dan sikap ibu bapa terhadap pendidikan juga perlu diambil kira dalam membentuk nasihat pendidikan.

Kita menghormati pelantikan semua ahli MPPK. Namun, nasihat pakar dalam pelbagai bidang untuk kemajuan dan kecemerlangan pendidikan memang diperlukan. Justeru, paling penting ialah anggota penasihat yang dilantik dalam konteks MPPK perlu berbicara isu yang mendasari pendidikan secara tepat dan benar.

Maklumat tepat, sumber rujukan sahih 

Sudah sampai masanya teori disepadukan dengan 'kisah' sebenar. Maklumat mesti tepat daripada sumber rujukan yang sahih, bukan setakat pene- rimaan laporan bertulis daripada pegawai sahaja. 

Justeru, anggota MPPK perlu merangkumi pem- beri laporan secara lisan terus dari peringkat bawahan, yakni PPD atau bekas PPD. Tindakan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan yang ingin melaksanakan reformasi menyeluruh dalam pentadbiran negara.

Memang benar, segala perancangan pendidikan boleh dibuat oleh 'orang atas', tetapi perancangan tanpa mengetahui isu dan masalah sebenar pada peringkat sekolah dan daerah boleh menyebabkan pelan yang hanya cantik di atas kertas, tetapi terencat dari segi pelaksanaannya.

Hal ini kerana ketika merancang dan menen- tukan dasar, pasukan terbabit tidak mendapat input yang lengkap dan tepat daripada pihak me- laksanakannya iaitu pengetua, guru besar dan guru.

PPD amat mengetahui apa-apa sahaja yang ber- laku di daerah dan sekolah termasuk keperluan, isu dan masalah yang dihadapi. Jika ada bekas PPD berada dalam MPPK, tentu fakta sebenar mengenai sekolah dan guru dapat dinyatakan dalam mesyuarat pengurusan MPPK.

Justeru pengalaman dalam pentadbiran sekolah dan daerah, orang yang layak mengungkapkan perkara berkaitan tentu saja pegawai pendidikan daerah.

Jika dilihat, kita tidak ketandusan bekas pegawai pendidikan daerah yang cemerlang ketika mentadbir daerah.

Malah, ada sebahagiannya penerima tokoh kepemimpinan pendidikan peringkat negeri dan malah kebangsaan. Apakah mereka tidak cukup layak menganggotai ahli MPPK?

Zainal Abidin Osman | Teluk Intan

Previous Post Next Post