Polis Kelantan terima 100 permohonan khidmat pengiring keluarkan BAP

KOTA BHARU: Polis Kelantan menerima lebih 100 permohonan daripada sekolah untuk mendapatkan pegawal pengiring bagi mengambil wang bantuan awal persekolahan (BAP) di bank.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata permohonan itu dibuat oleh guru besar bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dari semua daerah bermula minggu lalu.

Katanya, sekolah yang membuat permohonan antaranya dari Kota Bharu, Tumpat, Gua Musang, Tanah Merah dan daerah yang lain.

"Setakat ini lebih 100 sekolah yang membuat permohonan untuk mendapatkan eskot atau pengawal pengiring bermula minggu lalu untuk mengambil wang BAP.

"Permohonan itu dibuat oleh pihak sekolah kepada Ketua Polis di daerah dan pegawai serta anggota kita akan mengiringi pihak sekolah untuk mengambil wang berkenaan di bank. Pengawal pengiring ini terdiri daripada anggota polis termasuk dari unit kereta peronda (MPV).

"Kita akan mengambil perhatian terhadap permohonan berkenaan. Kita menasihatkan pihak sekolah membuat permohonan bagi menjamin keselamatan ketika mengambil wang dalam jumlah yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Engagement Kor-Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS)/SISKOR/ SISPA/PALAPES Darat dan Laut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama pelajar SMK Raja Sakti di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Raja Sakti, Datin Dyuhiza Anuar dan Komandan SUKSIS UMK,Prof Dr Arham Abdullah.


Menurut Muhamad Zaki, bukan sahaja sekolah, malah pihak lain yang memerlukan perkhidmatan pengawal pengiring untuk mengambil wang dalam jumlah besar juga boleh membuat permohonan.


"Permohonan ini perlu dibuat awal bagi memudahkan pihak polis untuk membuat perancangan termasuk untuk mengelakkan waktu puncak kerana ia terlalu padat dan juga kesesakan jalan raya," katanya.

Previous Post Next Post