19,000 pelajar tak setuju waktu sekolah ditukar 8 pagi

Imej hiasan


PETALING JAYA – Majoriti pelajar di 55 buah sekolah Ikram seluruh negara menyatakan pandangan tidak bersetuju terhadap cadangan pertukaran sesi persekolahan kepada pukul 8 pagi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia, Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, tinjauan awal itu melibatkan seramai 19,000 pelajar. 

“Perubahan jadual waktu persekolahan merupakan sesuatu yang besar. Walaupun 30 minit, ia memerlukan kajian yang lebih saintifik dan professional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, bagi kebanyakan ibu bapa, permulaan persekolahan pada pukul 7.30 pagi tidak menimbulkan masalah besar. 

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 57.2 peratus bersetuju dengan cadangan melanjutkan sesi berkenaan manakala 42.8 peratus lagi tidak bersetuju. 

Bagamaimanapun, Omar berkata, kesimpulan yang dibuat menerusi undian di Twitter itu adalah tidak wajar dijadikan sebagai rujukan. 

“Saya sangsi dengan kesimpulan yang dibuat kerana segmen pengguna Twitter biasanya terdiri dari golongan professional yang tidak mewakili sebahagian besar ibu bapa. 

“Saiz sampel juga terlalu kecil digunakan sebagai dapatan iaitu hanya 278,” ujarnya. 

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Kementerian Pendidikan dicadangkan memulakan sesi persekolahan di Semenanjung bermula pukul 8 pagi. 

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidkan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, cadangan itu adalah selaras atau meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’. – KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post