Sisi positif Sekolah Kurang Murid (SKM)

SK Tebing Rebak merupakan salah sebuah SKM dalam Malaysia


Kuala Lumpur: "Mugkin ramai yang anggap, bilangan murid dan guru yang sedikit sebagai satu masalah, namun apa yang umum tidak tahu, ia sebenarnya membe- ri kelebihan untuk murid kerana mendapat perhatian lebih daripada guru".

Itu pandangan seorang guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Raya, Langkawi yang juga Sekolah Kurang Murid (SKM).

M Jayarani, 43, yang mula berkhidmat di SJKT Ladang Sungai Raya sebaik tamat pengajian memberitahu, antara kelebihan mengajar di SKM apabila warga sekolah ibarat sebuah keluarga.

"Walaupun setiap tahun jumlah murid adalah kurang daripada 150 murid, kami akan me raikan setiap murid. Hubungan kemesraan di antara guru dan murid jarang boleh dilihat di sekolah harian biasa lain.

"Proses pengajaran dan pembelajaran di sini juga berlangsung seperti sekolah lain yang padat dengan murid," katanya.

Katanya, sekolah itu hanya mempunyai tujuh kelas termasuk sebuah kelas pra sekolah, dengan 13 guru termasuk seorang guru serta dua murid beragama Islam menjadikan jumlah keseluruhan murid terkini hanya 122 orang.

Setakat September tahun lalu, sebanyak 3,017 SKM di seluruh negara direkodkan. Daripada jumlah itu 367 adalah SJKT; 616 pula Sekolah Jenis Kebangsaan Cina manakala 2,034 adalah Sekolah Kebangsaan (SK).

Isu sekolah kurang murid se- jak sekian lama menimbulkan dilema bukan sahaja kepada pen- tadbiran sekolah, guru, murid dan ibu bapa, malah kepada per- soalan perlukah lagi sekolah seperti itu di Malaysia.

Kajian Kementerian Pendidi kan Malaysia (KPM) mendapati hampir 30 peratus daripada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara adalah SKM, iaitu mempunyai murid kurang 150 orang.

Hal ini menyebabkan seorang guru terpaksa mengajar banyak subjek, termasuk bukan pengkhususan, manakala pihak sekolah pula perlu berusaha lebih bagi menjamin kecemerlangan akademik.

Ini disebabkan jumlah murid sedikit mudah menjejaskan prestasi sekolah dan guru jika ada yang gagal dalam sesuatu subjek.

Lebih kenal murid

Bagi murid pula, mereka tidak mempunyai atau hanya ada beberapa rakan sekelas dalam tahun pembelajaran selain tidak dapat menyertai aktiviti kokurikulum, terutama sukan pada peringkat sekolah.

Malah, ibu bapa murid juga terbelenggu, sama ada anak mereka dapat pembelajaran sempurna dan mampu bersaing dengan murid sekolah lebih besar. Mengulas lanjut, guru mata pelajaran Bahasa Melayu itu berkata, terdapat pelbagai keistimewaan apabila mengajar di sekolah dalam kategori SKM iaitu semua murid medapat 'sentuhan secara dekat' dalam penyelesaian masalah pembelajaran.

"Bilangan murid yang tidak ramai pastinya mendekatkan hubungan antara guru dan murid.

"Disebabkan bilangan murid sedikit, kami mampu kenal semua murid dan tahu masalah mereka baik daripada sudut akademik atau peribadi.

"Jadi kami guru di sini sedaya upaya membantu mereka. Inilah keistimewaan di SKM walaupun tidak ramai, tetapi kami ada untuk menyokong satu sama lain," katanya.

Beliau yang juga Guru Perpustakaan dan Media (GPM) sekolah terbabit sejak 2019 memberitahu, kekurangan jumlah murid yang jauh beza daripada sekolah harian biasa di daerah itu tidak sekali mematah semangat untuk melakukan yang terbaik demi anak bangsa.

Buktinya, SJKT Ladang Sungai Raya bukan sahaja berjaya mencatat peningkatan pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 dengan bilangan A terbanyak malah merangkul Johan Anugerah Pusat Sumber Cemerlang Sekolah Rendah Kategori SKM peringkat Kebangsaan 2022. "Kami sudah merintis usaha ini selama tiga tahun bermula 2020 ketika kami menduduki tempat ketiga. Kemudiannya muncul naib johan (2021) dan 2022 menjadi johan.

"Kejayaan ini diperoleh kerana kami melakukan transformasi besar Pusat Sumber Sekolah (PSS) dengan mengubah keadaan fizikalnya. "Pelbagai teknik digunakan untuk mencari dana kewangan termasuk sumbangan cabutan bertuah, kewangan daripada badan kerajaan, bukan kerajaan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta Lembaga Pengelola sekolah," katanya.

Katanya, jumlah murid bukanlah faktor kejayaan atau kegagalan akademik serta kemenjadian murid sebaliknya usaha pihak sekolah perlu sentiasa memberi terbaik utuk anak bangsa.

Cantum kelas

Sementara itu, bekas guru SKM di SK Rumah Barat, Bekenu, Sarawak, Noor Syazana Taib, memberitahu pengalamannya mengajar selama lapan tahun di sekolah seperti itu meninggalkan pelbagai kenangan.

Ia termasuk kenangan mengajar dalam situasi kelas terpaksa dicantumkan kerana jumlah murid kurang daripada 30.

"Cabaran yang tidak dapat dilupakan apabila mengajar banyak mata pelajaran selain memegang banyak jawatan dan mengajar kelas bercantum.

"Saya pernah mengajar Sejarah, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Pendidikan Moral secara serentak.

"Saya juga pegang pelbagai jawatan. Antaranya, ketua panitia, guru kelas dan lain-lain," katanya kini berkhidmat di SK Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mengimbas kenangan bersama anak didik di SK Rumah Barat, Noor Syazana memberitahu walaupun jumlah murid dan guru tidak ramai seperti sekolah harian lain, namun banyak kejayaan dicapai terutama peringkat daerah sehingga kebangsaan.

"Walaupun berkhidmat di SKM dan pedalaman, menjadi kejayaan terbesar saya ketika itu apabila dilantik sebagai pempengaruh pendidikan (Eduflencer) KPM pada tahun 2019.

"Kini saya mengajar di sekolah harian biasa yang perbezaan jelasnya adalah bilangan murid dan guru lebih ramai.

"Bagi saya, setiap sekolah ada keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri," katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Previous Post Next Post