Sistem kesihatan awam berdepan krisis, ramai pertimbang letak jawatan

Imej hiasan


KUALA LUMPUR: Sejumlah 95 peratus daripada 1,652 kakitangan kesihatan meliputi jururawat serta doktor kerajaan, menyatakan sistem kesihatan awam negara kini berdepan krisis, dengan 73 peratus daripada mereka sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan.

Hasil tinjauan diterbitkan laman web berita kesihatan CodeBlue, mendapati hanya dua peratus daripada keseluruhan responden itu tidak bersetuju sistem kesihatan awam menghadapi krisis, manakala dua peratus lagi tidak pasti.

Dapatan tinjauan itu juga mendapati 53 peratus daripada responden yang sebahagiannya merupakan golongan profesional, bersetuju dengan status 'sangat marah' akan situasi semasa sistem kesihatan awam, mengikut skala sifar hingga empat.

Berhubung permasalahan dihadapi ketika berkhidmat pula, sebanyak 83 peratus responden merasakan kerajaan bersikap remeh dalam menangani isu sistem kesihatan awam.

Sejumlah 80 peratus responden pula bersetuju bahawa mereka tidak dibayar dengan gaji setimpal, manakala 78 peratus menyatakan bebanan kerja mereka terlalu berat.

Soal selidik dalam talian dijalankan secara eksklusif itu juga mendapati sebanyak 74 peratus responden merasakan diri sedang menghadapi tekanan atau 'burnout' (lesu upaya), bahkan 61 peratus berpandangan perkembangan kerjaya mereka dalam sektor kesihatan awam negara adalah tidak terjamin.

Lebih kritikal lagi, terdapat pernyataan sebanyak 25 peratus responden mengaku mereka dibuli di tempat kerja, manakala dua peratus pula mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Bukan itu saja, menurut hasil tinjauan berkenaan, sebanyak 73 peratus daripada doktor kerajaan (merentasi tahap kekananan), pegawai farmasi, pegawai pergigian, jururawat, penolong pegawai perubatan dan pekerja penjagaan kesihatan bersekutu, mempertimbang untuk meletak jawatan dalam sektor kesihatan awam di Malaysia.

Malah, lebih separuh daripada mereka bersetuju akan mengambil bahagian sekiranya ada pihak menganjurkan mogok atau hartal untuk ahli profesional atau pekerja kesihatan dalam sektor awam, sementara hanya 14 peratus menyatakan tidak bersetuju.

Menariknya, CodeBlue mendedahkan, hampir dua pertiga mereka yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu adalah kumpulan pegawai perubatan membabitkan sebanyak 64 peratus, diikuti pegawai perubatan siswazah (11 peratus), pakar perubatan (lapan peratus), pegawai farmasi (lapan peratus), pegawai perubatan subpakar (tiga peratus), penolong pegawai perubatan (dua peratus), pegawai pergigian (dua peratus) dan jururawat (satu peratus).

Kebanyakan yang terbabit juga adalah petugas berkhidmat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu sebanyak 77 peratus, manakala 16 peratus di klinik kesihatan dan lima peratus lagi di hospital mengajar.

Dari segi jantina yang mengambil bahagian dalam tinjauan ketidakpuasan hati itu pula, 53 peratus adalah wanita dan 40 peratus lagi lelaki, dengan separuh daripada 1,652 itu berumur 30 hingga 39 tahun.

Dalam perkembangan sama, tinjauan itu turut mendapati kakitangan kesihatan di Selangor paling tinggi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan kesihatan negara membabitkan 25 peratus, diikuti Kuala Lumpur (15 peratus), Sabah (sembilan peratus), Pulau Pinang (sembilan peratus) dan Perak (enam peratus).

Selain itu, Johor (lima peratus), Negeri Sembilan (lima peratus), Pahang (tiga peratus), Kedah (tiga peratus), Melaka (tiga peratus), Terengganu (tiga peratus), Kelantan (dua peratus), Putrajaya (dua peratus), Perlis (0.4 peratus) serta Labuan (0.1 peratus).

Sumber: Berita Harian
Previous Post Next Post