Vape pakai buang ancam kesihatan murid sekolah

Imej hiasan


PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengawal penjualan vape pakai buang yang kini menjadi kegilaan kira-kira 300,000 pelajar sekolah dan remaja akibat terpengaruh dengan promosi tidak bertanggungjawab syarikat pengeluar yang mengejar keuntungan semata-mata.

Perkara itu tidak boleh dipandang mudah apabila golongan bawah umur senang membeli vape pakai buang tersebut berbanding produk tembakau lain, malah ia juga dijual dengan harga mampu milik bagi seorang pelajar iaitu RM10 setiap set.

Produk tersebut membuatkan pelajar termasuk yang masih bawah umur mudah terjebak untuk mencuba bukan sahaja kerana reka bentuknya 'menarik' tetapi boleh dibeli dengan wang belanja sekolah yang diberikan ibu bapa. 
Menurut seorang pemain industri vape tempatan, Shahabudeen Jalil yang juga Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd., pengeluar vape luar negara terutamanya dari China gemar menghasilkan reka bentuk vape pakai buang yang boleh menarik perhatian golongan bawah umur untuk mencuba. 

Katanya, penggunaan vape secara berleluasa dalam kalangan pelajar bukan sahaja membabitkan aspek masalah sosial tetapi lebih membimbangkan apabila kandungan dalam produk tersebut dikhuatiri berbahaya kerana bahannya tidak dikawal selia.

"Ini adalah sesuatu yang bahaya dan kita terpaksa bergantung kepada kebijaksanaan pengguna dalam membuat pilihan kerana kawal selia dan penguatkuasaan terhadap produk import ini rapuh serta banyak ruang untuk penambahbaikan. 

"Pengeluar vape pakai buang seharusnya wajib regulasi dan piawaian antarabangsa sepertimana produk tempatan yang lain" katanya kepada Mingguan Malaysia.

Data Kementerian Kesihatan baru-baru ini mendedahkan pelajar menggunakan vape sekurang-kurangnya sehari sekali dan dapatan tersebut membimbangkan kerana produk itu mengandungi nikotin yang boleh menjejaskan kesihatan.

Tinjauan mendapati vape pakai buang yang dijual berleluasa sengaja direka khas dalam pelbagai betuk, warna dan disertai pelbagai watak kartun sensasi serta menyerupai alat permainan bagi mengelirukan golongan muda.

Ini membuatkan pelajar yang belum matang mudah untuk tertipu dengan kaedah pasaran itu dan akan cenderung membeli produk tersebut kerana meminati reka bentuk serta ingin mengikuti trend semasa.

Malah bungkusan vape pakai buang itu sengaja dibuat menyerupai gula-gula atau makanan ringan yang pada akhirnya menyukarkan ibu bapa untuk mengesan produk tersebut berada dalam genggaman anak-anak mereka kerana terlepas pandang. 

Mengulas lanjut, Shahabudeen berkata, manipulasi vape pakai buang yang berselindung di sebalik minat kanak-kanak tidak boleh dibiarkan.

"Jika tidak dibendung, penjual vape pakai buang ini akan terus menyebar luas aktiviti mereka dengan menyasarkan golongan kanak-kanak untuk terus meraih keuntungan.

"Antara langkah yang mampu menghentikan perbuatan tidak beretika ialah mewajibkan penjualan vape dan rokok elektronik hanya dilakukan di kedai eksklusif berlesen dengan meletakkan syarat had umur untuk memasuki premis," katanya.

Di Johor Bahru, aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof. Madya Dr. Madihah Rushai- dhi berkata, ketagihan golongan remaja, termasuk pelajar sekolah terhadap vape amat serius lebih-lebih lagi mereka beranggapan vape hanya cecair wap biasa yang berperisa seperti gula-gula. 

"Tanggapan itu tidak betul, sebaliknya vape mengandungi nikotin dalam bentuk cecair pelbagai perisa sehingga menyebabkan ketagihan. Apabila ketagih, akan membantutkan pembelajaran, menyebabkan hilang fokus dan seterusnya turut menyum- bang terhadap masalah sosial lain," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jelajah Bahaya Vape (JBV) di sini semalam. 

Menurut beliau, cecair vape mengandungi nikotin yang merembeskan bahan kimia dopamin yang akan mewujudkan perasaan gembira dan secara tidak langsung melatih otak supaya mengulangi pengambilan sehingga akhirnya menjadi ketagih. 

Sementara itu, Pengarah Program JBV, Norleyana Yahya berkata, remaja termasuk pelajar sekolah yang semakin ketagih turut dikesan membawa peranti tersebut ke sekolah.

"Ada kes di sebuah sekolah negeri ini, seorang pelajar membawa vape dan hisap dalam kelas ketika ketiadaan guru. Ada yang menyorokkan vape dalam tandas sekolah. Situasi ini menggambarkan mereka ketagih untuk menghisap vape dan berani membawa ke kawasan larangan," katanya.
Previous Post Next Post