Buli: Mahkamah batal saman bekas murid OKU

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman seorang bekas murid sekolah pendidikan khas yang dibuli, tujuh tahun lalu selepas mendapati pelajar terbabit gagal membuktikan dakwaannya berdasarkan imbangan kebarangkalian.


Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad dalam penghakimannya turut menyatakan murid lelaki itu yang kini berusia 25 tahun, gagal menunjukkan bahawa kesemua defendan telah gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan persekitaran yang selamat sehingga menyebabkannya dibuli.


Pada 26 Mei 2017, bekas murid terbabit dan ibu angkatnya memfailkan saman dengan menamakan pengetua, sekolah pendidikan khas, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat.


Menurut pernyataan tuntutan mereka, plaintif pertama (bekas murid) mendakwa kakinya telah diikat di katil dan ditumbuk rakan sekolah ketika tidur, diludah serta dikasari manakala pakaiannya dicuri.


Plaintif berkata, sekolah itu tidak mempunyai kemudahan dan sistem untuk mengkategorikan setiap murid mengikut tahap ketidakupayaan atau masalah pembelajaran.


Ketika membaca penghakimannya, Hakim Nik Hasmat menyatakan pihak plaintif gagal menunjukkan memberikan justifikasi mengenai tugas dan tanggungjawab kesemua defendan.


“Secara keseluruhannya, mahkamah mendapati dakwaan plaintif bahawa defendan gagal menyediakan sistem pendidikan yang berstruktur dan bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan murid pendidikan khas hanyalah dakwaan kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought),”katanya.


Berhubung dakwaan bahawa defendan gagal menyediakan persekitaran yang selamat, hakim terbabit menyatakan plaintif juga gagal menunjukkan bahawa kecuaian tersebut telah menyebabkan insiden buli tersebut berlaku.


Tambahnya, sekiranya ibu angkat plaintif pertama tidak berpuas hati dengan sekolah terbabit dan situasi yang berlaku terhadap anaknya, langkah terbaik ialah mengeluarkan anaknya daripada sekolah berkenaan.


“Bagaimanapun, plaintif pertama (bekas murid) masih lagi meneruskan persekolah dan kini telah menikmati hasil daripada pembelajaran di sekolah terbabit. Oleh itu, dakwaan bahawa kejadian buli itu berlaku tidak disokong.


“Selepas meneliti keseluruhan keterangan, bukti dan fakta kes ini, saya dengan ini membatalkan saman ini dengan kos,”katanya.


Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua plaintif membayar kos sebanyak RM10,000.


Menurut saman tersebut, kedua-dua plaintif menuntut antara lain ganti rugi am, teruk dan teladan selain perisytiharan bahawa hak kepada pendidikan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bermaksud pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaan dialami plaintif pertama dan kanak-kanak istimewa lain.


Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaannya berkata, penempatan plaintif pertama di sekolah itu berdasarkan pemilihan oleh kedua-dua plaintif dan mereka bersetuju dengan pemilihan itu selepas melihat kecenderungan plaintif pertama. – UTUSAN

Previous Post Next Post