KPM kaji keperluan wujud pembantu guru, atasi beban tugas cikgu



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas guru ketika ini.


Selain itu, Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata KPM juga melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan tahun ini.


Beliau berkata, antara langkah berkenaan termasuk memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis pada semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2023 yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.


"Selain itu, kita juga melaksanakan penetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel dalam sistem e-kehadiran sekolah KPM iaitu jam 12 tengah hari untuk sesi pagi dan jam 5 petang untuk sesi petang; pelantikan pengawas peperiksaan awam terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi.


"Penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja. Selain itu, autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah diperkukuh dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan," katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengenai rangka perancangan kementerian bagi menyelesaikan permasalahan beban kerja guru yang membawa kepada persaraan awal golongan pendidik, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.


Hui Ying berkata, tindakan guru bersara awal akan mengurangkan tenaga guru berpengalaman, namun perkara itu tidak dapat dihalang kerana ia hak setiap guru.


"Kita tidak boleh memaksa untuk mereka terus berkhidmat, namun KPM akan cuba sedaya-upaya menggalakkan guru terus mengajar sehingga tibanya waktu mereka bersara wajib pada usia 60 tahun," katanya. – BERNAMA

Previous Post Next Post