‘Mengapa pula perlu tutup kantin sekolah pada bulan Ramadan?’ - Fadhlina

LIPIS: Pengurusan sekolah wajar meneruskan operasi kantin masing-masing seperti biasa pada bulan Ramadan dengan mendapat persetujuan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan pengusaha kantin serta dimaklumkan kepada ibu bapa dan murid. 


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tidak ada masalah meneruskan pengoperasian kantin pada bulan Ramadan bagi menyantuni murid yang bukan Islam. 

"Mengapa perlu menutup kantin? Mereka tidak terbabit dalam amalan ibadah berpuasa seperti orang Islam. 

"Mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang hanya melihat anak-anak orang Islam berpuasa, biarlah mereka meneruskan aktiviti masing-masing," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Pengoperasian Pembukaan Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (RPS) Betau, dekat sini hari ini. 

Namun, Fadhlina berkata, perkara penting yang perlu diberi perhatian pihak sekolah di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Murid (HEM) ialah memantau pengoperasian kantin sekolah dengan memastikan penjualan makanan yang berkualiti dan bernutrisi dan jualan makanan mencukupi. 

"Pengusaha kantin tidak boleh menjual makanan dan minuman yang dilarang berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh KPM melalui surat bertarikh 15 Mac 2017 serta menjual makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan berdasarkan harga yang ditetapkan dalam sebut harga. 

Sementara itu, pelaksanaan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hendaklah dilaksanakan bermula pada hari pertama sesi persekolahan. 

"Sekiranya terdapat isu yang menyebabkan RMT tidak dapat dilaksanakan pada hari pertama, sekolah perlu memaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan kadar segera untuk tindakan pembetulan serta merta. 

"Kadar RMT dinaikkan sebanyak RM1.00 kepada RM3.50 daripada RM2.50 bagi Semenanjung dan RM3.00 ke RM4.00 bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memastikan kualiti dan kuantiti makanan yang disediakan adalah mengikut standard minimum menu yang dibekalkan oleh KPM," katanya. Fadhlina turut meminta pihak sekolah memberi perhatian elemen sentuhan jiwa dengan menggalakkan guru yang bertugas danpentadbir untuk makan bersama-sama murid penerima RMT.- katanya.
Previous Post Next Post