Wujudkan subjek khusus Anti Penipuan di sekolah - Pejuang

Saudara pengarang


JENAYAH peipuan dalam talian terus berlaku saban tahun. Kes jenayah ini bukan sahaja melibatkan kerugian besar kepada masyarakat tetapi juga menimbulkan masalah lain seperti psikologi dan sosial.


Pada ketika ini, pihak kerajaan masih lagi membanteras jenayah ini dengan cara konvensional seperti penguatkuasaan dan ceramah. Jadi, wujud keperluan agar kerajaan dapat mencari kaedah lain supaya jenayah ini dapat dikekang sejak awal.


Jadi, saya melihat salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan didikan awal pada peringkat sekolah. Pelajar perlu diberi pendedahan tentang kaedah-kaedah penipuan yang dilakukan oleh penjenayah yang memang mahir menipu.


Adalah dicadangkan Kementerian Pendidikan mewujudkan subjek khusus Anti Penipuan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Kandungan subjek ini boleh berubah mengikut perkembangan terkini dan tidak terikat kepada buku teks sahaja.


Subjek ini boleh diajar secara hibrid melalui projektor atau simulasi mengikut kesesuaian semasa. 


Agensi penguat kuasa pula boleh dipanggil membimbing para guru tentang kaedah terkini yang digunakan oleh penipu. Didikan ini boleh menjadi benteng awal bagi masyarakat khususnya orang Melayu yang diketahui mudah ditipu kerana pengurusan kewangannya sangat lemah. 


Subjek Anti Penipuan ini sangat diperlukan kerana penjenayah siber ini sentiasa meningkatkan kemahiran mereka dan mengubah modus operandi setiap masa.


Pihak kerajaan perlu memberikan perhatian sewajarnya kepada keperluan ini bagi mengelak kerugian besar terus dialami masyarakat. 


Apa gunanya mendapat pekerjaan dan pendapatan yang bagus tetapi akhirnya ditipu oleh penjenayah siber.


MOHD. FIRDAUS HASHIM | Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Pahang

Previous Post Next Post