Buli: 5 pelajar MRSM Balik Pulau ditahan polis

PETALING JAYA: Polis menahan lima pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan, Khamis lalu.


Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal, berkata semua pelajar itu ditahan pada hari yang sama selepas bapa mangsa membuat laporan polis.


“Semua pelajar berkenaan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya menurut laporan Harian Metro.


Kamarul berkata, hasil siasatan mendapati kelima-lima suspek turut membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama dalam tempoh masa antara jam 11 hingga 12.30 tengah malam di tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di blok B.


Difahamkan kejadian pada jam 11 malam itu berlaku di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan apabila seorang pelajar tingkatan tiga dipukul dengan alasan lambat turun solat Subuh.


Akibat daripada itu, angsa mengalami luka kecil di badan setelah dipukul sekumpulan pelajar terbabit menggunakan kaki serta tangan sebelum dia memaklumkan perkara berkenaan kepada bapanya pada keesokan hari.


Sementara itu, ibu kepada seorang mangsa berkata, kejadian buli itu hanya diketahui selepas ada penjaga meminta penjelasan daripada pihak MRSM berhubung kejadian itu.

Previous Post Next Post