WhatsApp benar sunting mesej dalam tempoh 15 minit

Tiada lagi paparan 'mesej ini telah dipadamkan' apabila berlaku kesilapan penghantaran sebarang mesej. - Foto: Agensi 


SACRAMENTO - WhatsApp telah mengumumkan ciri penyuntingan yang membolehkan pengguna mengubah mesej dalam tempoh 15 minit selepas ia dihantar.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg turut mengumumkan ciri baharu tersebut di laman Facebook miliknya dengan memaparkan mesej yang ditukar daripada Beast of luck! kepada Best of luck!

Perkhidmatan mesej dimiliki Meta itu telah mula melancarkan fungsi itu dan sedia untuk digunakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Mesej notifikasi akan dipaparkan selepas mesej telah disunting, namun penerima tidak akan dapat melihat mesej asal.

Ciri tersebut boleh diaktifkan dengan menekan pada mesej dihantar dan memilih 'edit' daripada menu pop-up yang muncul.

Sebelum ini, satu-satunya cara membetulkan mesej yang salah dihantar adalah dengan memadamkannya dan penerima akan dimaklumkan dengan frasa, 'mesej ini telah dipadamkan' (this message was deleted).

"Daripada membetulkan ejaan kepada menambah konteks pada mesej. Kami teruja untuk memberikan anda fungsi 'kawalan' ke atas perbualan anda," ujar WhatsApp ketika mengumumkan ciri baharu tersebut.

Difahamkan, aplikasi pesaing seperti Telegram dan Signal telah menyediakan ciri tersebut malah Twitter turut menggunakan ciri sama kepada pelanggar perkhidmatan Twitter Blue yang memberikan tempoh selama 30 minit untuk menyunting ciapan masing-masing selepas ia dimuat naik. - Agensi
Previous Post Next Post