Guru wanita dakwa foto beliau, ahli keluarga disalah guna dalam video lucah

Imej hiasan


KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang wanita dari Kemaman yang mendakwa gambar dirinya dan ahli keluarga telah disalah guna serta dimuat naik dalam beberapa video lucah yang kini tular menerusi media sosial. 


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chukai, Kemaman pada Selasa lalu. 


“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan Seksual Atas Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 


“Bagaimanapun, setakat ini identiti suspek masih belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi. 


Semalam, media melaporkan mangsa yang dipercayai seorang guru mendakwa gambar dia sekeluarga di Facebook peribadinya telah dimuat naik dalam beberapa video lucah oleh seorang pengguna akaun Twitter sejak Disember tahun lalu. 


Video berkenaan memaparkan aksi lucah pelaku dengan menggunakan gambar mangsa termasuk ahli keluarganya iaitu anak perempuannya yang berpakaian seragam sekolah, kakak ipar dan anak saudara perempuannya sebagai gambar latar belakang. 


Mangsa turut mendakwa terdapat ramai lagi kanak-kanak dan wanita lain yang merupakan kenalannya di sekitar Kemaman yang turut menjadi mangsa tindakan tidak bermoral suspek itu. – BERNAMA

Previous Post Next Post