Sekolah di Kedah didakwa seleweng dana PIBG

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025, yang dikenali sebagai Anjakan 9, kerajaan telah mendorong kerjasama yang lebih erat dan meluas antara sekolah dan ibu bapa. 


Namun, hubungan ini sering terjejas oleh isu pecah amanah dan kurangnya kepercayaan antara ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah.


Keadaan ini berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di Kedah. Bekas Yang diPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut melaporkan bahawa terdapat penyelewengan kewangan yang dilakukan oleh pihak pentadbiran sekolah. 


Walaupun isu ini telah dilaporkan kepada pihak berkuasa pendidikan di peringkat daerah dan negeri, serta dilaporkan kepada pihak polis, namun sehingga kini, tiada maklum balas yang diterima.


Bekas Yang diPertua PIBG tersebut telah membuat aduan pertama kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah pada 10 Oktober 2022 mengenai pengurusan yang salah dalam pengeluaran wang daripada akaun PIBG. 


Pada 8 Disember 2022, beliau telah menghantar memorandum sokongan dan tandatangan ahli jawatankuasa PIBG kepada JPN Kedah untuk mendesak tindakan segera demi kepentingan murid dan sekolah.


Pihak pentadbiran sekolah telah melakukan pengeluaran wang dua kali pada 26 September 2022 sebanyak RM6,000 dan pada 1 Oktober 2022 sebanyak RM10,000 tanpa mengemukakan kertas kerja yang lengkap. Apabila bekas Yang diPertua PIBG meminta pihak sekolah untuk mengemukakan kertas kerja, wang sejumlah RM10,000 telah dipulangkan, tetapi wang sejumlah RM6,000 tidak dipulangkan.


Bekas Yang diPertua PIBG tersebut menghadiri mesyuarat PIBG di sekolah pada 11 Januari 2023, di mana beliau akhirnya menerima satu kertas kerja untuk pengeluaran dan penggunaan wang sebanyak RM6,000 yang telah diambil pada bulan September 2022. Namun, kertas kerja tersebut dikatakan tidak selaras dengan tujuan permohonan pengeluaran wang dan melanggar perlembagaan PIBG, oleh itu ia ditolak.


Beliau telah membuat dua laporan polis pada 9 Disember 2022 dan 23 Februari 2023 berkenaan dengan perkara ini. Sekitar 150 pelajar sekolah tersebut menerima bantuan RMT (pelajar dari keluarga pendapatan kasar kurang daripada RM310) dan sekitar 35% daripada jumlah pelajar adalah daripada golongan B40.


Ibu bapa murid-murid sekolah tersebut telah meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pihak sekolah untuk menggunakan sumbangan yuran PIBG dengan baik dan ikhlas untuk kepentingan dan kesejahteraan anak-anak mereka. Sidang media telah diadakan di pejabat HAFARIZAM WAN & AISHA MUBARAK (HWAM) pada awal pagi hari ini.

Previous Post Next Post