CAP dakwa 15 pelajar perempuan setiap sekolah hisap vape

Imej hiasan


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan kira-kira 15 pelajar perempuan di setiap sekolah didapati menghisap vape dengan tiga hingga empat daripadanya mengalami ketagihan nikotin.

Pegawai Pendidikannya, NV Subbarow, berkata menerusi tinjauan dilakukan persatuan itu mendapati penggunaan vape dan e-rokok pada masa kini sangat popular, berbanding sebelum pandemik COVID-19.

Beliau berkata, bilangan pengguna yang menghisap vape dan e-rokok pula didapati meningkat sebanyak tiga kali ganda.

"Beberapa guru disiplin sekolah mendakwa bimbang terhadap jumlah baharu penghisap vape dan mengakui ketagihan nikotin menyebabkan peningkatannya dalam kalangan murid sekolah rendah serta menengah.

"Guru sekolah juga bimbang bilangan pelajar perempuan yang menggunakan vape turut meningkat dengan alasan diberi perisa vape diperbuat daripada buah-buahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Subbarow berkata, pihaknya kecewa kerana kerajaan dan penggubal dasar tidak melihat perkara ini akan berlaku dan hanya menyerahkan peluang bagi melindungi kanak-kanak dengan tidak menggunakan Generasi Penamat Rokok (GEG) secara keseluruhan.

Katanya, kini tanpa pemantauan dan pelaksanaan undang-undang yang lemah, cecair vape boleh dibeli dengan mudah sama ada dari kedai atau menerusi dalam talian.

"Jika kanak-kanak sekolah boleh mempunyai akses kepada peranti vape, ini menunjukkan Rang Undang-undang (RUU) itu tidak berkesan dan masalah itu sudah hilang kawalan.

"Sejak RUU diluluskan, CAP dapati produk vape lebih mudah diakses dan dijual. Terdapat lebih banyak kedai runcit yang menjual pelbagai jenis perisa cecair vape dalam pembungkusan menarik kepada semua peringkat umur tidak jauh daripada sekolah," katanya.

Subbarow berkata, tiada seorang pun pelajar sekolah yang tahu mengenai nikotin serta tidak tahu mereka mengambil bahan itu kerana percaya cecair berkenaan mengandungi perisa buah-buahan.

"Masalah utama ialah pengecualian nikotin sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun pada Mac 2023 kerana ia bermakna cecair vape berasaskan nikotin adalah sama seperti produk pengguna biasa lain yang boleh dibeli dengan mudah tanpa preskripsi.

"Kami menggesa kerajaan lebih serius mempertimbang bagi memasukkan semula nikotin ke dalam Akta Racun untuk menyelamatkan masa depan ribuan pelajar sekolah," katanya.

Previous Post Next Post