Kantin sekolah beroperasi sepanjang Ramadan - Fadhlina

Imej hiasan

KUALA LANGAT - Kantin di semua sekolah akan beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan pelajar bukan beragama Islam untuk mendapatkan makanan ketika waktu rehat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penting proses untuk memahamkan pelajar berkenaan mengenai ibadah yang dijalani rakan beragama Islam agar mereka saling menghormati antara satu sama lain.

"Saya ulangi, kantin mesti dibuka serta ada pendidikan berkaitan kesedaran dan hormat antara satu sama lain, khusus sekolah yang mempunyai murid bukan beragama Islam.

"Ramai guru mempunyai pengalaman untuk menguruskan sebarang isu jadi proses pendidikan untuk memahamkan dan menghormati sangat penting ketika Ramadan," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Kebangsaan Saujana Putra sempena pembukaan sesi akademik 2014/2025 di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Fadhlina turut memberi jaminan KPM akan memastikan semua murid menjalani proses pembelajaran dalam suasana kondusif dan selesa meskipun bilangan kemasukan ke sekolah meningkat di seluruh negara.

Justeru ujar beliau, pihaknya akan memastikan tiada kesesakan yang keterlaluan berlaku di sekolah yang dikenalpasti.

"Kemasukan murid darjah satu tinggi dan ini menunjukkan komitmen KPM untuk memastikan anak-anak berada dalam sekolah, tercapai.

"Cuma kita nak kena selaraskan dari segi kepadatan, barangkali menyusun semula dan tugas itu akan dilakukan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) untuk memastikan tiada kesesakan keterlaluan di sekolah," ujarnya.

Previous Post Next Post