KPM tambah baik kualiti pencapaian PISA

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR: Prestasi Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 menurun secara ketara walaupun ia menunjukkan peningkatan sejak penyertaan pada tahun 2009.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata berdasarkan keputusan 2022, Malaysia ketinggalan dengan Singapura, Vietnam dan Brunei dalam ketiga-tiga domain literasi yang dinilai iaitu matematik, sains, dan membaca.

"Sebanyak lapan negara ASEAN telah menyertai PISA 2022 daripada 81 negara.

"Penemuan tersebut menunjukkan bahawa walaupun kita telah ketinggalan dari Singapura, Vietnam dan Brunei, kita telah melebihi Thailand, Indonesia, Filipina, dan Kemboja dalam ketiga-tiga domain literasi.

"Pada masa yang sama, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) juga melaporkan bahawa tempoh wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada banyak sistem pendidikan di seluruh dunia disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan serta penutupan sekolah yang panjang," katanya menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa aspek yang memerlukan penambahbaikan, termasuk keperluan untuk menilai semula kandungan kurikulum kebangsaan, penggunaan peranti digital untuk pembelajaran serta menilai semula pengagihan sumber yang optimum termasuk guru, peranti, infrastruktur dan bahan pengajaran.

"KPM pada masa sama komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif sebagai usaha memperbaiki kualiti pencapaian murid dalam pentaksiran pada peringkat antarabangsa," katanya.

"Pertama, KPM bertindak menyemak dan menilai kandungan kurikulum kebangsaan dengan memberi penekanan terhadap keperluan kandungan yang berfokus dan mendalam bagi pembelajaran secara aktif.

"Selain itu, kementerian turut menggalakkan penggunaan peranti digital dalam pembelajaran. Pada masa sama, KPM akan meneliti semula penelitian semula syarat agihan bantuan yang memberi fokus kepada murid sosioekonomi rendah.

"Antara tindakan lain termasuk meneliti semula agihan sumber secara optimum merangkumi guru, peranti, infrastruktur, bahan sumber dan sebagainya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Nurul Amin sama ada wujud keperluan untuk mengembalikan sistem peperiksaan berpusat bagi mengatasi kelompangan ini, Kah Woh berkata, buat masa ini, KPM belum bercadang ke arah itu.

"Setakat ini KPM masih berpandukan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) iaitu pentaksiran dijalankan oleh guru.

"Selain itu, dalam hal ini , sejak dua tahun lalu, kita telah mulakan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi murid tahun empat hingga enam.

"Data kualiti UASA ini dipantau KPM khasnya melalui Lembaga Peperiksaan," katanya yang turut memberitahu tumpuan turut diberikan kementerian itu bagi meningkatkan literasi Matematik dan Sains menerusi pembangunan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Previous Post Next Post