Sekolah padat bukan masalah KPM semata-mata - Pensyarah


Isu kelas dan sekolah padat bukan masalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepenuhnya, sebaliknya ia merupakan kesan daripada perubahan masyarakat seperti urbanisasi.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pembinaan sekolah wajar dimasukkan dalam perancangan bandar bagi menangani isu tersebut.

"Saya tidak fikir masalah ini akan hilang dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang dengan pertambahan penduduk, urbanisasi malah ia akan berterusan tetapi bagaimana kita boleh tangani untuk minimumkan keadaan ini.

"Jadi kita perlu ada pelan strategik, dasar pembinaan sekolah yang dinamik dan harus difikirkan sekarang supaya nanti lima tahun akan datang ia tidak lagi bersifat kritikal walaupun kita masih membincangkan isu sekolah padat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 434 bertajuk 'Dah 2024, masih isu kelas padat?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Dr Wan Noor Azhar Wan Sulaiman serta pesara guru, Dr Munira Hussin.

Mengulas lanjut, menurut Anuar, perkara yang dibimbangi sekiranya isu jumlah murid terlalu padat tidak ditangani dengan segera adalah kemampuan guru menyampaikan pembelajaran berkualiti.

"Sejak tahun 70-an isu ini sudah ada tetapi waktu itu kita amalkan sistem peperiksaan di mana guru hanya mengajar. Sistem ini menyebabkan murid akan beri  perhatian lebih terhadap pengajaran kerana mereka perlu memahami serta menghafal semasa menjawab ujian nanti.

"Jadi, kalau murid ramai mana pun, ia bukan satu perkara yang merisaukan pada waktu itu. Sama juga di universiti yang ada 200 orang pelajar dalam satu kelas tetapi di hujungnya ada peperiksaan.

"Tetapi dalam sistem pembelajaran abad ke-21 ini, pentaksiran di bilik darjah memerlukan guru melihat murid satu per satu. Cuba bayangkan kalau satu kelas ada 45 murid dan guru pula terpaksa mengajar lima kelas dalam satu hari," ujarnya.

Sementara itu, Munira berkata, kerajaan perlu menambah baik prasarana di sekolah terutamanya yang mengalami masalah kepadatan murid kerana ia menimbulkan rasa tidak selesa.

"Dengan kemudahan yang kurang lengkap atau sudah usang membuatkan murid tidak seronok untuk datang ke sekolah. 

"Kelengkapan seperti kerusi, meja, almari dan kipas perlu ditambah baik demi keselesaan pelajar, KPM atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh lakukan tindakan sedikit derni sedikit untuk me- mastikan infrastruktur sekolah berada di tahap terbaik," katanya.

Wan Noor Azhar pula berkata, pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya (2) dijangka siap pada 2028 bagi menangani isu kepadatan murid seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Status terkini projek ini berada dalam proses perolehan. Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain mengikut konsep reka serta bina bagi mempercepatkan proses pembinaan," katanya.

Beliau berkata, KPM turut mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengatasi isu kepadatan di sekolah berkenaan seperti penyuraian murid Tahun Satu ke enam buah sekolah berdekatan seperti SK Taman Putra Perdana, SK Taman Putra Perdana 2, SK Dengkil, SK Desa Pinggiran Putra, SK Bandar Baru Salak Tinggi dan SK Kota Warisan.

Previous Post Next Post