Cadang kerajaan negeri beri televisyen pintar setiap sekolah



SIBU: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat ingin mencadangkan kepada kerajaan Sarawak memberi dana bagi mewujudkan televisyen pintar di setiap sekolah di negeri ini. 

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ini bagi memudahkan guru mengajar terutamanya di zaman berasaskan internet kerana televisyen pintar merupakan satu keperluan. 

"Kita tahu sekolah-sekolah jenis kebangsaan sudah banyak mempunyai televisyen pintar. Sekolah-sekolah agama pun kita telah memulakan programnya dan seterusnya kita akan ke sekolah kebangsaan. 

"Jika kita dapat dana dari kerajaan negeri, kita dapat memastikan bahawa setiap sekolah di Sarawak ini mempunyai televisyen pintar untuk guru-guru mengajar," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali, di sini malam tadi. 

Pada majlis itu, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menyempurnakan simbolik penyerahan televisyen pintar kepada SK Abang Ali. 

Beliau memberitahu, sebanyak 36 televisyen pintar telah disumbangkan kepada sembilan sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka. 

"Sebanyak 18 buah televisyen pintar telah diserahkan pada tahun lepas dan 18 buah lagi akan diserahkan pada tahun ini," katanya. 

Dr Annuar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk mencari dana bagi merealisasikan usaha memastikan setiap kelas dilengkapi televisyen pintar. 

"Insya-Allah saya akan cuba cari dana untuk memastikan setiap kelas di kawasan DUN Nangka ini iaitu sebanyak sembilan sekolah akan mendapat televsiyen pintar untuk mereka menggunakan dalam pembelajaran pelajar-pelajar kita di kawasan ini," ujarnya. 

Selepas itu, Dr Annuar bersama rombongan menghadiri Program Berjarah Raya di Kampung Bahagia Jaya Teku. 

Oleh AKUN GIMAN

 

Previous Post Next Post