![]() |
FADHLINA (tengah) pada sidang media pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan MUET Tahun 2024 di Bandar Baru Selayang. FOTO Saifullizan Tamadi |
Menurutnya, semua dasar, perkara baharu dan reformasi yang dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibentangkan dalam Jemaah Menteri.
"Semua jemaah menteri tahu setiap menteri ini apa yang dibentangkan kecuali tak datang mesyuarat.
"Dengan keseluruhan pembentangan itu, tidak ada satu pun yang kita terlepas daripada membentangkan soal dasar utama dan reformasi yang kita nak angkat di peringkat KPM," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) di Dewan Besar (Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Selayang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Rafizi menerusi 'Podcast Yang Berhenti Menteri' mempersoalkan mengenai kerangka dasar KPM yang diterajui oleh Fadhlina yang didakwanya sehingga kini tiada dasar jelas.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, semua perkara dibentangkan di dalam Kabinet, selain ia juga diketahui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tidak timbul soal kita tidak melakukan apa-apa kerana semuanya dibincangkan dalam Jemaah Menteri," katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menafikan KPM pernah mengeluarkan pekeliling yang mengatakan keputusan memperoleh A- di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang.
"Kita tak pernah keluarkan pekeliling yang mengatakan A- bukan A atau tak cemerlang. Tidak pernah sama sekali kita sebut.
"Yang kita uruskan ketika ini tentang kemasukan matrikulasi. Tahun ini paling tenang kerana kita menguruskan sangat baik," katanya.
Fadhlina juga menjelaskan 86 peratus pelajar yang memasuki matrikulasi adalah mereka yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM.
"Kita kena ingat 86 peratus yang mohon masuk matrikulasi adalah 9A. Yang 14 peratus sahaja 10A. Jadi kita harus berlaku adil kepada anak-anak kita yang 86 peratus ini," katanya. Katanya, KPM juga tidak pernah mengatakan pelajar yang memperoleh A- tidak layak memasuki matrikulasi. "Mereka tetap boleh mohon dan akan melalui proses biasa termasuk melalui proses merit," katanya.