301 guru enggan divaksin di Pahang

MOHD Yusri (kanan) bersama Mohammad Rosli selepas Mesyuarat Permuafakatan Antara PDRM dengan JPNP

Kuantan: Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan 301 guru sekolah rendah dan menengah di Pahang masih enggan vaksin di Pahang. 

Pengarahnya Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, pihaknya memberi peluang kepada guru berkenaan sehingga 1 November depan untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum tindakan diambil. 

Bagaimanapun, katanya, sebarang tindakan berdasarkan keputusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

"Buat masa ini, guru yang enggan menerima suntikan vaksin masih diberi peluang sebelum 1 November depan dan segala arahan berikutnya berdasarkan pekeliling oleh JPA. 

"Selepas tarikh itu, kita akan mengetahui jumlah guru sama ada mereka mengambil suntikan atau tidak," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Permuafakatan Pahang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan JPNP di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini. 

Mesyuarat itu turut dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Yusri Mohd Hassan Basri. Mengulas pemberian dos pertama bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Pahang, beliau berkata, sebanyak 85.21 peratus remaja sudah divaksinasi melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Katanya, berdasarkan peratusan itu, ia amat membanggakan kerana mendapat kerjasama baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekolah, ibu bapa serta murid. 

"Ia termasuklah dari segi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan program ini," katanya. 

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, polis sedia membantu JPNP dan Pejabat Pendidikan Daerah dalam memastikan sesi pembukaan sekolah secara bersemuka pada Fasa 4 pada 25 Oktober ini berjalan lancar. 

"Kita ada pegawai perhubungan sekolah yang dilantik PDRM Pahang bagi membantu pihak sekolah dalam memastikan semua perjalanan atau operasi sekolah," katanya.

Previous Post Next Post