'Pakai aluminium foil elak terkena radiasi 5G' - Anti Vaksin

Tangkap layar perbualan di kumpulan Telegram antivaksin yang tular di media sosial.

PETALING JAYA – Jika sebelum ini golongan antivaksin mengambil ubat Ivermectin atau menghidu asap cengkih bagi mengelak terkena Covid-19, kini golongan itu muncul dengan kaedah baharu iaitu menggunakan aluminium foil. 

Kaedah itu disyorkan selepas muncul beberapa dakwaan yang mengatakan badan mereka mula berasa sakit akibat terkena frekuensi rangkaian 5G yang terpancar daripada individu yang telah divaksin.  

Perkara tersebut menjadi tular di media sosial berikutan tersebarnya tangkap layar perbualan mengenai kaedah itu di aplikasi Telegram yang dipercayai merupakan kumpulan antivaksin. 

“Minggu lepas keluarga dari Kuala Lumpur balik. Satu rumah penuh dengan orang vaksin, sakit kepala, Nauzubillah,” kata seorang pengguna. 

Susulan dakwaan itu, terdapat seorang pengguna menyarankan agar mereka yang berasa sakit badan itu menggunakan aluminium foil di mana bahan itu dipercayai dapat mengurangkan kesan frekuensi 5G yang telah diaktifkan dalam badan individu yang lengkap vaksin. 

“Sediakan aluminium foil atau lebih baik tembaga di rumah masing-masing. Jika terasa terlalu kuat kesan sakit kepala atau sesak nafas bagai akibat 5G, boleh digunakan untuk menutupi bahagian depan dan belakang rumah yang terdedah secara terus dengan kemasukan radiasi 5G,” katanya. 

Terdahulu, golongan antivaksin mendakwa kandungan dalam vaksin mempunyai cip nano di mana ia dapat mengesan kedudukan manusia selain teknologi 5G yang dapat menyebabkan risiko penyakit barah. 

Bagaimanapun, teori tersebut telah dinafikan pakar dan menganggap ia hanyalah sekadar mitos semata-mata. 

Previous Post Next Post