Calon SPM maut dirempuh lori


YAN: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggangi terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori dan sebuah motosikal di Jalan Batu 18, Jalan Sungai Petani - Alor Setar, malam tadi. 

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa, Muhamad Hakimi Muhamad Hambali, 17, yang berasal dari Simpang Tiga, Sungai Daun, Alor Setar meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. 

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kemalangan dipercayai berpunca dari pemandu lori yang membawa muatan tempurung kelapa, yang datang dari arah Alor Setar menghala ke Batu 18 ingin membelok dengan tidak memberi signal. 

“Pemandu lori berusia 49 tahun itu memasuki simpang mengakibatkan motosikal ditunggangi remaja lelaki berusia 18 tahun yang mengekori dari arah belakang lori gagal membrek lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan. 

"Bagaimanapun motosikal ditunggangi calon SPM terbabit sempat mengelak lalu memasuki laluan bertentangan dan dirempuh sebuah lori yang ketika itu dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Alor Setar," katanya ketika dihubungi portal berita Astro AWANI hari ini. 

Shahnaz berkata, akibat pelanggaran itu calon SPM terbabit maut di tempat kejadian manakala penunggang sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan parah selain patah tangan. 

Sementara kedua-dua pemandu lori berusia 49 dan 60 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat sementara seorang lagi penunggang yang parah dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

 

Post a Comment

0 Comments