Gesaan mansuh sekolah vernakular bukan sebab Bahasa Melayu, tetapi perkauman - Ramasamy

PETALING JAYA: Gesaan untuk memansuhkan sekolah vernakular tiada kaitan dengan penguasaan bahasa atau tahap pendidikan yang disediakan tetapi didorong oleh persepsi perkauman terhadap institusi berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata, perbahasan berterusan yang dihidupkan kembali oleh sayap Pemuda Bersatu dan saman difailkan oleh tiga kumpulan penuntut Melayu, didorong oleh kurangnya penerimaan Bahasa Melayu sebagai kaedah pengajaran utama di sekolah-sekolah itu.

“Selama ini, sekolah vernakular telah menjadi lebih bersepadu dengan sistem pendidikan kebangsaan,” katanya, bertentangan dengan gambaran diberikan sesetengah pihak bahawa institusi berkenaan adalah “orang luar”.

Pemimpin DAP itu berkata, tuduhan bahawa pelajar sekolah vernakular kurang mahir Bahasa Melayu, seperti yang dianjurkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, “tidak berasas”.

Katanya, tuduhan liar itu tidak disokong dengan fakta dan angka. Malah, pelajar sekolah kebangsaan juga lemah bukan sahaja dalam Bahasa Melayu tetapi juga Bahasa Inggeris, tambahnya.

“Kelemahan besar dalam sistem pendidikan kita adalah tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kedua-dua kategori sekolah itu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelajar bagus dan lemah di semua jenis sekolah, dan “tidak adil” untuk menyentuh mengenai pelajar sekolah vernakular sahaja.

“Mereka yang membuat gesaan ini bukan tidak tahu realiti sebenar di lapangan. Sebaliknya, ia disebabkan kedegilan mereka untuk menerima realiti tentang sumbangan positif dibuat oleh sekolah vernakular.

“Lebih ramai ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah rendah Cina. Bukankah ini satu pengakuan bahawa sekolah ini bagus?

“Memang mudah untuk ahli politik menggesa sekolah vernakular dimansuhkan, tetapi saya tertanya-tanya ke mana mereka menghantar anak mereka.

“Jika mereka sangat kaya, sama ada London atau Paris (atau sekolah antarabangsa),” katanya.

Katanya, tanpa sekolah vernakular, Malaysia tidak boleh mencapai toleransi dan kepelbagaian sebenar, sambil menjelaskan bahawa perkara “yang tidak boleh dipertikaikan” di Malaysia ini “akan kekal bagi tempoh yang sangat, sangat lama.”

 

1 Comments

  1. Tutup dan hapus pusat judi bukan kerana hak asasi, tetapi prejudis dan rasis.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post