KPM sudah keluarkan garis panduan, apa pihak sekolah buat?


PIHAK sekolah perlu mengambil perhatian terhadap isu berat beg sekolah yang membebankan pelajar demi kesejahteraan dan kesihatan mereka, kata pakar pendidikan.

Perkara itu dinyatakan Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad yang mengatakan bahawa sehingga hari ini tiada penguatkuasaan dilaksanakan di peringkat sekolah meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengeluarkan pekeliling berhubung isu tersebut.

"Bahagian Buku Teks KPM telah menjalankan kajian pada 2018 dan mengesahkan memang ada kebenarannya isu berat beg sekolah ini.

"KPM juga mengambil perhatian dan mengeluarkan pekeliling serta panduan untuk pihak sekolah bagi mengurangkan beban beg sekolah, namun tidak ada ssebarang perubahan yang berlaku," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, antara kandungan pekeliling itu, pihak sekolah (yang mempunyai dana) boleh mengambil inisiatif dengan menyediakan ruang simpanan (locker) untuk pelajar menyimpan buku teks mereka.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh menyediakan mesin air untuk pelajar mendapatkan bekalan minuman (air kosong) tanpa perlu membawanya dari rumah.

Katanya lagi, isu ini perlu diambil perhatian kerana kesihatan kanak-kanak harus menjadi keutamaan memandangkan perkara tersebut boleh menjejaskan tumbesaran mereka.

Jelasnya, terdapat juga kajian dari University of Granada, Sepanyol yang mencadangkan bahawa kadar berat beg sekolah perlu kurang atau maksimum 10 peratus (beg sandang) dan 20 peratus (beg tarik).

"Jika berat badan murid ialah 30 kilogram, beg galas sekolah mereka adalah maksima tiga kilogram. Manakala beg tarik pula berat maksima ialah enam kilogram.

"Anak-anak tentunya tidak bersuara. Mereka hanya mampu mengeluh keletihan setiap kali pulang dari sekolah," ujarnya.

Anuar turut memberitahu, pihak sekolah perlu memandangkan serius perkara ini dan mengambil inisiatif untuk menguatkuasakannya di peringkat sekolah.

Hurainya lagi, antara tindakan yag boleh diambil adalah dengan memastikan pelajar tidak membawa buku atau item yang tidak perlu ke sekolah.

"Guru-guru perlu memberi arahan dengan jelas kepada murid berhubung buku yang dperlukan untuk kelas mereka yang akan datang supaya mereka tidak keliru dan membawa semua buku yang tidak perlu.

"Pemeriksaan juga perlu dilakukan terhadap murid-murid yang dilihat membawa beg yang berat ke sekolah dan guru besar peru menasihatkan murid-murd serta ibu bapa supaya memantau barang yang dibawa anak ke sekolah," jelasnya.

Sumber — Majoriti

 

Previous Post Next Post