NUTP tidak terkejut dengan 'puluhan ribu' aduan guru


Kuala Lumpur:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak terkejut dengan puluhan ribu maklum balas disalurkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia kerana menyedari guru menempuh pelbagai cabaran sejak pandemik melanda negara.

Presiden NUTP Aminuddin Awang, berkata angka maklum balas yang tinggi adalah logik dan munasabah, memandangkan guru juga adalah barisan hadapan untuk memastikan anak bangsa untuk mendapat ilmu, walaupun di mana mereka berada.

Beliau berkata, dihimpit situasi penularan COVID-19, guru bagaikan tiada 'rehat' dengan bebanan tugasan dan pelaporan yang perlu dihantar tanpa mengira masa.

"Tugasan hakiki seorang guru adalah menurunkan ilmu kepada anak bangsa. Kita memahami situasi pandemik COVID-19 yang memerlukan guru menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan juga terkini pembelajaran bersemuka dengan penggiliran.

"Guru juga memerlukan masa untuk baik pulih atau membantu muridyang tercicir. Jika masa terhad, guru akan terkejar dan rasa mereka gagal walaupun dalam situasi ini, kita memahami tugasa seorang guru tidak mudah seperi yang disangka," katanya kepada akhbar Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatakuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Dr Maszlee Malik, yang mendedahkan pihaknya menerima puluhan ribu aduan dan maklum balas daripada guru dan kakitangan sekolah terutama berkaitan kelesuan akibat bebanan tugasan yang perlu diselesaikan.

Aminuddin berkata, ketika cuti sekolah yang berbaki hanya beberapa hari sebelum penggal ketiga bermula sebenarnya tidak cukup buat untuk mereka untuk merehatkan minda sebagai seorang pendidik.

"Mereka juga mempunyai keluarga, anak, suami atau isteri untuk diberi perhatian. Cuti berbaki sedikit apalah sangat boleh dilakukan berbanding baki mereka selama ini," katanya.

Previous Post Next Post