Selaraskan peperiksaan sekolah agama seluruh negara


SELAIN mendapat pendidikan dalam aliran kebangsaan, umumnya ibu bapa juga mendaftarkan anak untuk mengikuti pengajian agama sama ada di sekolah swasta atau yang dikelolakan kerajaan negeri. 

Hampir semua murid Tahun Satu hingga Enam, mengikuti pengajian agama ini malah ada yang menyambungnya hingga ke peringkat menengah.

Pendidikan Islam bermatlamat untuk melahirkan generasi yang seimbang dalam aspek rohani dan jasmani bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Untuk itu, penekanan keseimbangan di antara akademik dan sahsiah diri perlu digabungkan dengan baik untuk melahirkan murid seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun kaedah penilaian bagi pembelajaran sekolah agama ini tidak standard. Ia berbeza-beza bergantung kepada kerajaan negeri. Keadaan ini menyebabkan pelajar aliran agama di negeri A misalnya tidak boleh melanjutkan pengajian di sekolah agama di negeri B kerana keperluan jenis peperiksaan yang diduduki adalah berbeza.

1. UPKK

Berasaskan pendidikan bersumberkan al-Quran, tertubuhlah Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) untuk memastikan kanak-kanak yang beragama Islam berumur di antara tujuh hingga 12 tahun dapat membaca al-Quran, menguasai Bahasa Arab dan pendidikan Jawi serta pengetahuan Fardu Ain dengan baik.

Peperiksaan bagi pendidikan KAFA ini dikenali sebagai Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan ia diselenggara oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia diduduki oleh murid Tahun Lima dan diguna pakai di semua sekolah yang mengikuti silibus JAKIM.

Dalam peperiksaan UPPK, bidang yang dinilai merangkumi al-Quran dan hafazan; ibadah dan aqidah; sirah; adab; jawi dan khat; lughatul quran juga amali solat.

UPKK ini digunakan bagi permohonan melanjutkan pengajian di sekolah menengah agama, sekolah menengah kebangsaan bagi pelajar yang mahu mengikuti kursus aliran agama juga sekolah agama kelolaan kerajaan negeri.

2. PSRA, SDEA, SRAI dan UPSRA

Selain UPKK, terdapat penilaian yang dilaksanakan di peringkat negeri yang berbeza dengan amalan kebangsaan. Misalnya di Selangor, pelajar aliran sekolah agama menduduki peperiksaan dikenali sebagai Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang diduduki murid Tahun Enam. PSRA adalah peperiksaan bersijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS). Di Johor, peperiksaan untuk sekolah agamanya dikenali sebagai Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), di Perak ia dinamakan Sijil Rendah Agama Islam Negeri Perak (SRAI) dan di Wilayah Persekutuan pula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA).

Secara keseluruhannya, walaupun mempunyai kepelbagaian bentuk nama penilaian namun objektif masih menuju ke matlamat yang sama iaitu menilai tahap kemahiran dan kebolehan pelajar dalam bidang pembacaan dan hafazan Al-Quran, Bahasa Arab, Pendidikan Jawi, Amali Solat serta Amali Cara Hidup Islam. Permohonan kemasukan ke Tingkatan Satu ke sekolah menengah agama kerajaan negeri adalah berdasarkan peperiksaan yang dikendalikan di negeri masing-masing.

3. Keresahan ibu bapa

Kepelbagaian jenis peperiksaan sekolah aliran agama ini sebenarnya sudah kerap menjadi perdebatan dalam kalangan ibu bapa. Mereka tertanya-tanya apakah keperluan untuk melaksanakan penilaian secara berpusat dalam tempoh dua tahun. Hal ini berlaku apabila ada sekolah yang menjalankan peperiksaan UPKK untuk murid Tahun Lima dan peperiksaan dikelolakan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) pada Tahun Enam.

Terdapat sebilangan ibu bapa dan ahli masyarakat yang menyatakan keadaan ini memberikan kesan kepada murid sama ada dari segi emosi, sosial, motivasi dan daya kreativiti.

Untuk itu terdapat cadangan untuk pihak JAKIM dan JAIN untuk membentuk penilaian dalam bentuk baharu jika kita hendak melahirkan generasi kreatif dan inovatif dalam bidang pendidikan Agama sama seperti yang dilaksanakan oleh oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Namun, bagi pihak JAKIM dan JAIN, mereka melihat keperluan untuk melaksanakan penilaian ini adalah bagi memastikan murid Tahun Enam dapat meneruskan pembelajaran KAFA menerusi sukatan ditetapkan tanpa ada keciciran kehadiran.

Di samping itu, peningkatan permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa dan persaingan untuk memasuki Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri (SMAN) memerlukan penilaian dilaksanakan secara yang berterusan.

4. Impak COVID-19

Susulan pandemik COVID-19, berlaku titik permulaan kepada perubahan dalam penilaian murid di peringkat pendidikan agama. Peperiksaan Tahun Lima dan Enam distrukturkan semula dengan pembatalan ujian UPKK dan digantikan dengan Modul Penilaian KAFA (MPKAFA). Ini berasaskan pelbagai cadangan yang diterima oleh JAKIM berkaitan pendidikan KAFA dan apakah penentuan penilaian hendak dilaksanakan dengan mengambil kira pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang berlaku dalam tempoh masa yang agak lama.

Selain itu, isu pelaksanaan struktur pembelajaran yang berfokus pada peperiksaan mula diperbincangkan dengan mendalam sebagaimana yang berlaku di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Ini seiring cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik supaya sistem pendidikan seharusnya menumpukan kepada penerokaan bakat, pembangunan karakter dan keupayaan kreativiti murid yang perlu diberikan pertimbangan serius.

Walaupun situasi ini masih menjadi perdebatan untuk diguna pakai dalam sistem pendidikan agama, jalan ke arah itu perlu dibuka seluas-luasnya. Ini berasaskan hala tuju modal insan yang dilahirkan bukan sahaja mempunyai daya intelek yang tinggi menerusi akal yang diberikan oleh Allah SWT malah perlu diseimbangkan dengan kekuatan nilai murni dan akhlak yang mulia.

Dr Mohd Syaubari Othman
Pensyarah Kanan,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

Previous Post Next Post