Murid Tahun Enam juarai e-Tilawah al-Quran di Karnival Fitrah Murid Orang Asli


Slim River: "Terima kasih kepada ustaz kerana membimbing saya hingga menjadi juara pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan," kata murid Tahun Enam, Nur Aliyah Natasha Jamil, 12 sebaik dimaklumkan mengenai kemenangannya.

Nur Aliyah Natasha diumumkan sebagai juara e-Tilawah al- Quran peringkat kebangsaan 2021 bagi kategori perempuan yang diadakan sempena Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dia yang menetap di Kampung Orang Asli Changkat Ramu, Slim River, Perak mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Hulu Selangor, Selangor.

"Ibu bapa sentiasa memberi sokongan untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang saya minati.

"Saya membaca al-Quran setiap hari dan dengan bimbingan ustaz, saya berjaya memasuki tilawah dan muncul juara.

"Inilah pencapaian terbaik semenjak saya menyertai pertandingan tilawah al-Quran dan berharap kejayaan ini juga memberi motivasi kepada rakan-rakan saya di sekolah," katanya.

Nur Aliyah sebelum ini pernah muncul johan dalam acara yang sama tetapi hanya pada peringkat daerah dan negeri sahaja.

Nur Aliyah Natasha bersama-sama Zulkarnain Abdullah meraikan kejayaan muncul Johan Pertandingan e-Tilawah al-Quran kategori perempuan sempena Karnival Fitrah Murid Orang Asli anjuran KPM peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Sementara itu guru agama, Zulkarnain Abdullah Zawawi, 35, berkata dia kagum dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Nur Aliyah sepanjang beliau membimbing murid berkenaan.

Katanya, tanpa semangat juang yang tinggi dalam pertandingan berkenaan sudah tentulah Nur Aliyah tidak mampu melakukan sehingga muncul juara pertandingan itu.

"Saya melatih beliau sejak di Tahun Tiga lagi dan berkat usaha beliau yang berlatih dengan tekun tanpa jemu akhirnya membuahkan kejayaan.

" Saya berharap kejayaan Nur Aliyah menjadi contoh kepada murid-murid lain di sekolah ini dan jadikan kemenangan ini sebagai motivasi ke arah kecemerlangan diri," katanya.
Previous Post Next Post