‘Tiada tindakan setakat ini kepada penjawat awam enggan divaksin’ - JPA


PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum mengambil tindakan kepada penjawat awam yang belum mengambil vaksin.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman bagaimanapun berkata, penjawat awam di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih lagi merupakan angka tertinggi yang belum menerima vaksin.

“Tidak ada tindakan daripada JPA (kepada yang belum mengambil vaksin) setakat ini, cuma terpulang kepada ketua jabatan (mengenai tindakan selanjutnya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di sini, pada Isnin.

Pegawai kerajaan sebelum ini dilaporkan boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk mendapatkan dos imunisasi Covid-19 lengkap dengan cara mengemukakan sijil vaksinasi pada atau selepas 1 November ini.

Menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021, beliau menjelaskan, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Mohd Khairul Adib menambah, pihaknya turut meminta agar ketua jabatan di semua peringkat untuk membuat susulan terhadap penjawat awam yang masih belum menerima vaksin terbabit.

“Nombor (penjawat awam masih belum divaksin) itu kita ada dan alasan-alasan itu kita akan berikan kepada ketua jabatan untuk mereka lakukan susulan.

“Kita bukannya nak menghukum tapi perkhidmatan kita tak boleh terhenti.

“Kita minta ketua jabatan untuk melihat dan memahami dan cuba tangani. Kalau boleh terima alasannya. Terima,” jelasnya.
Previous Post Next Post