Guru terkejut wang simpanan lebih RM400,000 ‘lesap’


KUANTAN – Seorang guru wanita di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Pekan berputih mata apabila wang simpanannya di bank berjumlah RM438,900 ‘lesap’ selepas ditipu individu menyamar sebagai ejen insurans dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 11 Ogos lalu selepas mangsa yang berusia 44 tahun itu menerima panggilan telefon dari seseorang yang mengaku sebagai ejen insurans.

“Mangsa diberitahu dia telah terlibat dengan penipuan tuntutan insurans sebanyak RM76,000 sebelum dia disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

“Individu terbabit mengatakan mangsa juga terkait dengan kes pengubahan wang haram bernilai RM2.8 juta selain menawarkan penyelesaian dengan memperkenalkan mangsa kepada pegawai penyiasat jenayah komersial dengan gelaran Tuan Chong,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diminta membayar wang ikat jamin sebanyak RM600,000 dengan cara membuka akaun di sebuah bank.

Katanya, mangsa juga diarahkan untuk memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun baharu itu selain diminta menghantar gambar kad pengeluaran automatik (ATM) serta buku akaun kepada suspek dengan alasan untuk pemantauan.

“Pada pagi semalam, mangsa telah membuat semakan ke akaun berkenaan dan mendapati baki wang simpanannya hanya tinggal RM132.31 lalu mangsa ke bank terbabit untuk mendapatkan penyata akaun.

“Pihak bank menyatakan terdapat 26 transasksi pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun individu lain yang mangsa tidak kenali berjumlah RM438,900 bermula 8 September lalu sehingga Isnin lalu,”katanya.

Ujarnya, mangsa menyedari ditipu individu berkenaan datang ke balai polis untuk membuat laporan dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-K! ONLINE

 

Previous Post Next Post