JPA sedia pertimbang jawatan warden asrama sekolah sepenuh masa


KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia pertimbang mewujudkan perjawatan warden asrama sekolah jika didapati memang benar-benar wujud keperluan dan justifikasi.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata JPA sememangnya sedang melaksanakan kajian pembaharuan perkhidmatan awam untuk melihat keperluan menggabungkan skim yang ada berdasarkan keperluan.

"Kajian ini akan melihat semua skim dan tugas yang lebih kurang sama untuk digabungkan atau ditempatkan di jabatan atau agensi yang memerlukan. Dalam kes perjawatan warden ini, kita kena tengok dan faham juga sama ada dengan meletakkan warden, mampu menyelesaikan kes buli," katanya.

Menjelaskan demikian kepada BH, beliau berkata, JPA juga akan melihat secara saksama mengenai penambahan jawatan dalam perkhidmatan awam, selain adakah ia boleh ditangani dengan penggunaan teknologi.

"Banyak jabatan minta (tambah jawatan) dan jika ada keperluan serta justifikasinya, kita akan pertimbangkan termasuk juga warden asrama ini," katanya.

Semalam, BH melaporkan berapa pihak termasuk guru, pakar kaunseling dan kesatuan perguruan mahu kerajaan mewujudkan jawatan warden asrama sepenuh masa bagi menangani masalah yang sering timbul membabitkan sekolah berasrama di negara ini, termasuk kes buli.

Kes buli atau 'ragging' yang menggemparkan negara sebelum ini membabitkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2017 yang menyebabkan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain dan kembali hangat dengan insiden di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak.

Khamis lalu, tular beberapa klip video memaparkan sekumpulan pelajar mendera seorang lagi pelajar Tingkatan Satu di MRSM berkenaan.

Berikutan itu, polis menahan 10 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun sebelum enam daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis, manakala yang lain akan dibebaskan selepas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selesai.

Siasatan awal polis mendapati kejadian buli terbabit berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember lalu, membabitkan mangsa dengan tujuh suspek yang semuanya juga pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

 

Previous Post Next Post