Mahkamah putus sekolah vernakular sah di sisi perlembagaan


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular menepati perlembagaan negara. 

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menegaskan, kewujudan kira-kira 1,800 sekolah seperti itu, yang menampung kira-kira 500,000 pelajar, sah dan berperlembagaan. 

“Sekolah-sekolah ini bukan pihak berkuasa awam seperti yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar,” katanya dalam keputusan menolak saman mencabar kewujudan sekolah vernakular. 

Nazlan berkata, perlu dilihat undang-undang dan Perlembagaan sebelum dan selepas Merdeka yang menyediakan perlindungan bagi penggunaan bahasa-bahasa ini dan kewujudan sekolah sedemikian. 

Saman itu dimulakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) pada Disember 2019. 

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, justeru batal dan tidak sah. 

Nazlan berkata, penggunaan bahasa-bahasa ini sebagai bahasa pengantar pengajaran di sekolah menepati Perlembagaan dan dilindungi bawah pengecualian dalam Perkara 152(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan. 

“Kemasukan ke sekolah vernakular adalah satu pilihan. Sukar untuk dilihat bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah-sekolah ini melanggar hak mana-mana individu mengikut Perlembagaan,” katanya. 

“Mengambil kira dapatan bahawa sekolah vernakular bukanlah pihak berkuasa awam dan memandangkan latar belakang sejarah dan perundangan kepada Perkara 152 dan hasrat penggubal Perlembagaan, penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina dan Tamil bukan untuk tujuan rasmi dan bukan pelanggaran Perkara 152(1).” 

Beliau berkata, tafsiran yang benar dan tepat proviso ini dalam Perkara 152(1) tidak menghalang penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular sebagai sekolah jenis kebangsaan yang turut menggunakan kurikulum kebangsaan seperti yang diterima pakai oleh semua sekolah dalam sistem pendidikan negara. 

Nazlan juga berkata, mahkamah secara amnya akan cenderung kepada keperlembagaan sesuatu statut “atas dasar Parlimen memahami dan menghargai keperluan rakyat dengan betul”. 

“Ini juga telah disifatkan sebagai tangguhan kehakiman dan mahkamah harus mematuhi penghakiman badan perundangan yang dipilih secara demokratik. Ia juga merupakan aspek penting kepada doktrin pemisahan kuasa,” katanya. 

Itulah sebabnya penghakiman beliau lebih tertumpu kepada tafsiran Perkara 152(1) dan tidak mendalami peranan bahasa kebangsaan dalam mempromosikan identiti dan perpaduan negara. 

Pada asalnya, hanya Putrajaya dinamakan sebagai defendan dalam saman ini, namun kemudian pihak lain yang mendakwa mempunyai kepentingan turut dibenarkan mencelah. 

Pihak-pihak yang terbabit adalah MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, kumpulan pendidikan Cina Dong Zong and Jiao Zong, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil, Persatuan Malaysia Tamil Neri Kalagam, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia dan SMJK Chong Hwa.

 

Previous Post Next Post