Murid Tingkatan Satu patah pergelangan tangan dibelasah senior

Kulim: Hanya kerana enggan membasuh baju, murid lelaki patah pergelangan tangan kanan selepas dipukul seniornya di asrama sebuah sekolah menengah di sini, Rabu minggu lalu.

Kejadian terbabit disedari selepas murid tingkatan satu berkenaan mengadu sakit pergelangan tangan kanan dan pihak sekolah kemudian memaklumkan kepada ibunya untuk datang mengambil mangsa di asrama.

Menurut sumber, ibu mangsa menjemputnya di asrama pada 3.30 petang sehari selepas kejadian dan murid terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim selepas mengadu pergelangan tangan kanannya membengkak.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak hospital memaklumkan yang pergelangan tangan kanan murid terbabit patah dipercayai akibat hentakan kuat.

"Berikutan itu, murid berkenaan menceritakan kepada ibunya bahawa dia dipukul beberapa senior ketika berada di asrama," katanya.

Sumber berkata, bapa murid berkenaan kemudiannya membuat satu laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu.

"Susulan daripada itu, polis menjalankan siasatan dan mangsa mendakwa dia diminta membasuh pakaian oleh seorang senior pada 11 malam.

"Namun, mangsa enggan mengikut arahan terbabit dengan memberi alasan yang dia sibuk sebelum senior terbabit mengetuk kepalanya dan berlaku pergaduhan," katanya.

Menurutnya, ketika itu berlaku kekecohan dengan kira-kira lapan murid lain turut masuk campur dan membelasah mangsa hingga menyebabkannya terjatuh dan tangan kanan dicederakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Sazalee Adam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kejadian terbabit.

Menurutnya, polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dengan merekod keterangan daripada semua pihak.

 

Previous Post Next Post