29 lagi pelajar SMKA Naim Lilbanat positif COVID-19


KOTA BHARU: Sebanyak 29 lagi kes positif COVID-19 membabitkan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat dikesan semalam, menjadikan keseluruhan 73 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata Kluster Embi Telipot membabitkan pelajar asrama sekolah berkenaan di Kota Bharu dan yang tinggal di Jeli.

Katanya, setakat ini hanya dua daerah yang dikesan terbabit dengan kluster itu dan ianya dapat dikawal.

"Namun, pihak kita terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan kluster tidak merebak ke kawasan lain.

"Pelajar yang positif dan bergejala terus diasingkan dengan bantuan pihak sekolah, manakala kontak rapat, mereka menjalani kuarantin di asrama.

"Mereka dipantau pihak sekolah dan dibantu petugas kesihatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zaini berkata, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun itu dinasihatkan supaya terus menjaga diri dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya mempunyai gejala.

Media semalam melaporkan, seramai 44 pelajar asrama sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot di sini, dikesan positif COVID-19 sehingga kelmarin.

Dr Zaini berkata, kluster membabitkan pelajar asrama sekolah itu diisytihar pada 14 Januari lalu dan seramai 256 orang kontak rapat dikenal pasti.

Susulan itu, proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula semalam sehingga 25 Januari ini.

 

Previous Post Next Post