Cadangan lanjut had usia bas sekolah wajar diteliti


Kuala Lumpur: Cadangan lanjutan had usia penggunaan bas sekolah kepada 35 tahun wajar diteliti berdasarkan situasi semasa dalam negara susulan pandemik Covid-19.

Selain tempoh masa yang dilanjutkan, kerajaan juga disaran tampil dengan bentuk bantuan khas kepada pengusaha yang terjejas teruk susulan penutupan operasi sekolah sebelum ini.

Aktivis pengguna, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, ia bagi memastikan industri berkaitan pengangkutan itu boleh terus bernafas selepas ada dalam kalangan pengusaha yang tidak mendapat manfaat moratorium seperti diumumkan kerajaan.

"Mereka ini antara sektor yang terjejas. Cadangan lanjutan ini satu daripada idea yang terhasil selepas mereka terkesan.

"Tempoh tiga tahun itu bukanlah jangka masa yang lama kerana bas mereka juga diselenggara dengan baik kerana selama ini, kita tahu bahawa semua pihak mengutamakan keselamatan anak-anak ke sekolah," katanya.

Mohd Nor Izzat berkata, pertimbangan itu perlu dijadikan solusi sementara kepada permasalahan pengusaha bas yang tidak berkesudahan.

"Mungkin ada kaedah kain juga yang difikirkan sesuai seperti dalam bentuk subsidi. Tetapi had lanjutan usia penggunaan kenderaan ini pada saya praktikal. Ia sesuai kepada pengusaha.

"Bagaimanapun, saya minta isu ini diperhalusi dengan sebaik mungkin agar ia memberikan manfaat bersama kepada semua," katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, isu berkenaan akan diteliti berdasarkan faktor keselamatan secara menyeluruh.

 

Previous Post Next Post