Dibuli senior kerana berebut murid perempuan

Mangsa cedera di bahagian belakang badan, dada dan kaki. - Gambar/ Ihsan PDRM


MELAKA TENGAH: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat sebuah sekolah teknik di sini cedera selepas dipukul oleh kumpulan pelajar senior, dipercayai gara-gara berebut pelajar perempuan.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi Sabtu lalu itu dikatakan berlaku di sebuah bilik asrama sekolah berkenaan sehingga mengakibatkan mangsa cedera di bahagian belakang badan, dada dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis menerima laporan daripada abang mangsa pada petang Ahad. 

“Mangsa mulanya dipanggil untuk berjumpa dengan pelajar tingkatan lima di bilik asrama yang mana terdapat kira-kira 10 senior kononnya bertanyakan hal berkaitan rokok elektronik sebelum dia didakwa dipukul beramai-ramai.

“Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa dibuli kerana isu berkenaan, namun siasatan lanjut mendapati motif kejadian itu berpunca daripada perebutan seorang pelajar perempuan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut katanya, kesemua 10 pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah dirakamkan keterangan oleh polis.

Bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih diteruskan. “Belum ada apa-apa tangkapan setakat ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," tambahnya.

 

Previous Post Next Post