Graduan PAKK ada ikhtisas, kemahiran, mampu ajar subjek lain

Imej hiasan via kolejuniti.edu.my

MENYEDARI ruang untuk mengajar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) sangat terhad, graduan bidang tersebut bersedia untuk ditugaskan mengajar subjek lain di sekolah.

Salah seorang graduan tersebut, Nik Amalina Zamakhshari, 31, berkata, mereka juga mempunyai kemahiran mengajar dalam subjek minor yang diambil sepanjang hampir empat tahun pengajian dan seharusnya tempat mereka untuk subjek tersebut turut diambil kira.

Jelasnya, pelbagai kemahiran berkaitan subjek lain turut diajarkan dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) PAKK termasuk Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Awal Membaca dan Menulis Bahasa Melayu serta Penyaringan Kanak-Kanak Istimewa.

“Kursus yang dipelajari ini ada kaitan dengan subjek-subjek di sekolah. Sebagai contoh, kursus Penyaringan Kanak-Kanak Istimewa, kami telah didedahkan tentang murid-murid istimewa setelah mempelajari kursus ini di universiti.

“Di sekolah rendah, guru-guru akan menerima murid yang mempunyai masalah tidak tahu membaca setiap tahun. Tambahan lagi musim pandemik, peningkatan murid tidak tahu membaca kerana ketinggalan dalam pelajaran akibat kekangan pembelajaran di rumah.

“Kelebihan kepada kami kerana telah didedahkan kaedah membaca secara fonik dan kaedah membaca secara suku kata. Oleh itu, kami tiada masalah untuk menjadi Guru Pemulihan Khas di sekolah rendah bagi membantu murid menguasai kemahiran membaca,” katanya kepada Relevan.

Nik Amalina merupakan graduan ISMP PAKK Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2014, menjadikan ini tahun ketujuh dia menunggu penempatan.

Sebelum ini, dia pernah dua kali dipanggil temu duga untuk Pusat Genius Negara pada 2016 dan 2019 namun gagal disebabkan jumlah lulus yang sangat rendah.

Beliau juga pernah berkhidmat di taman didikan kanak-kanak (tadika) sebagai guru dan penyelaras, namun meninggalkan kerjaya tersebut kerana tawaran gaji yang terlalu rendah.

Kini, dia bertugas sebagai guru di sebuah sekolah swasta.

Nik Amalina berharap, lebih banyak ruang dapat diberikan kepada graduan PAKK untuk berkhidmat di sekolah-sekolah walaupun terpaksa mengajar subjek di luar bidang.

“Kelebihan kami selain dari ikhtisas pendidikan dan pengalaman mengajar, kami juga ada belajar subjek minor. Ada graduan yang mengambil subjek Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Khas dan sebagai subjek minor.

“Harapan kami, pihak Kementerian Pendidikan dapat meneliti kembali dan memberi peluang untuk kami mengajar subjek minor yang telah dipelajari selama hampir empat tahun di universiti,” katanya. Sumber asal – RELEVAN

 

Previous Post Next Post