'Beg sekolah berat kesan sistem pendidikan tidak berubah'


KUALA LUMPUR: Masalah beg sekolah berat dihadapi murid adalah implikasi daripada sistem pendidikan negara yang masih tidak berubah, kata Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Zuwati Hasim.

Katanya, sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada banyak subjek selain terlalu bergantung kepada penggunaan buku teks.

Beliau yang berpengalaman sebagai pembantu guru secara sukarela di sebuah sekolah rendah di New Zealand berkata, sistem pendidikan di Malaysia sangat berbeza dengan amalan negara maju yang mana guru diberi autonomi bagi menentukan pengajaran dan pembelajaran.

Pemilihan bahan pengajaran pula katanya, dibuat mengikut kesesuaian dan pencapaian murid menyebabkan tiada kebergantungan kepada buku teks.

Menurutnya pelajar hanya membawa pulang buku cerita bagi meningkatkan minat serta kefahaman mereka dan pentaksiran berasaskan sekolah dibuat berdasarkan latihan dalam kelas.

"Sebenarnya penguasaan awal 3M (membaca, menulis dan mengira) perlu dititikberatkan bagi memastikan pelajar Tahap 1 menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira tetapi penerapan pelbagai elemen tambahan termasuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)dan pelbagai mata pelajaran sedikit sebanyak mengganggu proses pendidikan awal murid.

"Perlu dilihat semula dalam pemetaan kurikulum, apakah yang ingin dicapai mengikut tahap pembelajaran dan perkembangan murid berumur tujuh hingga sembilan tahun ini dan adakah ia sesuai dengan tahap mereka.

"Sebab itu saya katakan isu beg sekolah berat adalah kesan daripada sistem pendidikan yang mana ia membabitkan aspek pembentukan kurikulum, pengurusan penjadualan, kebebasan dan autonomi sekolah dalam pengurusan dan perancangan pendidikan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, semalam berkata kementerian itu kini sedang merangka pendekatan terbaik dalam memastikan isu beg sekolah berat yang sudah berlanjutan sejak sekian lama, dapat diselesaikan secepat mungkin.

Beliau turut mengakui antara punca kepada isu beg sekolah berat itu termasuk jumlah mata pelajaran di sekolah rendah yang terlalu banyak.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, tidak menafikan sistem pendidikan negara terutamanya di sekolah rendah menyebabkan bilangan mata pelajaran sedia ada semakin bertambah.

Beliau berkata, isu ini perlu diselesaikan segera sama ada melalui pengurangan mata pelajaran atau menggabungkan kurikulum bagi meringankan sukatan pelajaran dengan memberi tumpuan kepada perkara asas yang penting buat pelajar Tahap 1.

Katanya, kurikulum dengan gabungan beberapa ilmu dalam satu subjek ini pernah dilaksanakan melalui mata pelajaran Alam dan Manusia yang menggabungkan subjek sains, sejarah, geografi serta ilmu persekitaran.

"Di peringkat sekolah rendah, bilangan mata pelajaran serta topik ditambah dan ia meningkatkan bilangan halaman dan buku teks.

"Jadi, isu ini mesti diselesaikan dahulu. Kurangkan atau gabungkan mata pelajaran untuk meringankan sukatan pelajaran supaya sistem pendidikan kita boleh memberi tumpuan kepada perkara asas terutamanya untuk pelajar Tahun 1 hingga 3," katanya.

Anuar berkata, meskipun ada cadangan mengenai penggunaan loker bagi menangani isu beg murid yang berat tetapi katanya ia tidak dapat diselesaikan sepenuhnya jika bilangan mata pelajaran dan sukatan pelajaran kekal banyak.

Katanya, isu beg berat ini adalah isu pendidikan yang sememangnya wujud dan turut diakui Kementerian Pelajaran sejak 2018 lagi, justeru ia perlu diselesaikan dengan segera supaya tidak memberi kesan termasuk kepada kesihatan pelajar.

"Tahniah kepada menteri kerana memberi maklum balas kepada isu ini tetapi saya harap kajian dilaksanakan bukan untuk menyelesaikan isu beg berat ini secara jangka pendek dengan menyediakan loker atau menjilid buku teks.

"Jika dibandingkan dengan Singapura, Australia atau Jepun, bilangan mata pelajaran di negara ini adalah antara yang paling banyak.

"Saya faham (perubahan kepada pengurangan mata pelajaran) tidak boleh dibuat spontan tetapi beri tumpuan kepada murid Tahap 1 dahulu sebagai keutamaan supaya mereka dapat ke sekolah dan belajar dengan beg yang ringan," katanya.

 

Previous Post Next Post