Kuarters Pendidikan jadi kuarters 'berhantu'?


ALOR SETAR: Dua kuarters pendidikan yang dibina dengan kos puluhan juta di daerah Kota Setar dan Pendang, di sini, kini terbiar usang sehingga menyeramkan penduduk.

Di Kuarters Pendidikan Tajar di sini, keadaan tiga blok bangunannya cukup menyedihkan dengan dipenuhi semak samun akibat tiada penyelenggaraan.

Difahamkan, kuarters lima tingkat berkenaan siap dibina sekitar tahun 2000 dan sempat didiami sehingga 2004 sebelum ditinggalkan, menyebabkan ia menjadi sasaran pencuri.

Bukan hanya lampu, kipas, kepala paip dan jeriji unit dicabut pencuri, malah cermin serta tingkap rumah dipecah atau sengaja dirosakkan.

Penduduk Kampung Alor Binjai, Farhanim Mat Saad, 27, berkata bapanya pernah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di kuarters terbabit bagi menjaga dan mengelak kawasan itu diceroboh.

Bagaimanapun, katanya apabila tiada lagi guru tinggal di kuarters berkenaan, kontrak bapanya tidak lagi disambung dan kawasan itu terus terbiar serta kerap dimasuki individu tidak dikenali.

"Dahulu ketika ada guru tinggal di kuarters, suasana kawasan ini turut meriah apabila penduduk kampung turut berpeluang membuka gerai makanan dan minuman berdekatan.

"Namun kawasan itu kini terbiar dan menyeramkan sehingga menjadi sasaran kumpulan paranormal berkumpul bagi mencari bahan kandungan video mereka," katanya ketika ditemui.



Keadaan sama berlaku pada lima blok Kuarters Pendidikan Kubur Panjang di Pendang yang tidak diselenggara, namun keadaannya sedikit baik kerana terletak di tengah pekan Kubur Panjang serta berdekatan Balai Polis.

Peniaga, Mohd Abdullah Lazim, 51, berkata kuarters terbabit sebelum ini pernah didiami kakitangan pendidikan yang bertugas di daerah ini, sebelum kosong kira-kira tiga tahun lalu.

"Sebelum ini, memang ada guru dan kakitangan pendidikan tinggal di sini, tetapi apabila mereka membeli rumah sendiri atau berpindah, kuarters ini terbiar dan rosak perlahan-lahan.

"Kebanyakan rumahnya masih elok dan jika dibuka untuk disewa kepada orang ramai, memang ramai yang mahu kerana lokasinya di tengah pekan dan berdekatan kedai," katanya.

 

Previous Post Next Post