Penjawat awam enggan divaksin berdepan sekatan kenaikan gaji, pangkat



KUALA LUMPUR - Kerajaan belum mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan awam yang enggan atau belum menerima vaksin Covid-19, selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan pengambilan vaksinasi itu mulai 1 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1.8 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih enggan menerima vaksin berkenaan.

“Hari ini 10 November iaitu 10 hari selepas ia (pengambilan vaksin Covid-19) dikuatkuasakan, namun tiada sebarang tindakan (disiplin) diambil,” katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu. 

Beliau menjawab pertanyaan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang meminta Perdana Menteri menyatakan statistik penjawat awam yang enggan menerima vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh selepas JPA mewajibkan pengambilan vaksin itu mulai 1 November lalu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Foong Hin yang mahu tahu mengenai tindakan setimpal ke atas kakitangan awam yang enggan menerima suntikan vaksin, Abdul Latiff berkata, tindakan dibuat berdasarkan udang-undang yang terpakai dalam JPA bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terganggu.

“Tindakan disiplin yang akan diambil ada prosesnya terutama sekali ketua jabatan perlu utus surat tunjuk sebab dan penjawat awam yang terlibat diberi tempoh 21 hari untuk jawab. 

“Jika jawapan diterima tidak memuaskan, satu jawatankuasa disiplin akan dibentuk di peringkat jabatan itu untuk memutuskan tindakan seterusnya,” katanya.

Tambahnya, antara yang boleh diambil termasuk memberi amaran, celaan, menyekat kenaikan gaji, pangkat dan sebagainya, namun proses perlu dilakukan dengan sebaiknya. 

Previous Post Next Post