Rombak sukatan pelajaran untuk atasi masalah beg berat - Maszlee


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera melaksanakan langkah bagi mengatasi isu beg sekolah berat.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan berkata, JKPPH mengambil berat isu tersebut kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada murid-murid dalam jangka masa panjang seperti yang dikeluarkan oleh pakar-pakar kesihatan.

Justeru, mereka mencadangkan supaya KPM untuk merombak sukatan pelajaran yang lebih mesra pendigitalan pendidikan bagi meminimumkan penggunaan buku teks fizikal.

“Selain itu, memperbanyakkan buku teks dalam bentuk digital atau e-book untuk semua peringkat dan memudahkan urusan mengakses buku teks digital yang akan digunakan oleh murid-murid termasuk di kawasan luar bandar.

“KPM juga boleh memberikan kuasa autonomi kepada sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk berbincang dan membuat keputusan kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan masing-masing,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan, selain beberapa ahli Parlimen iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin), Natrah Ismail (Sekijang), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu) serta Sivakumar Varatharaju Naidu (Batu Gajah).

Tambah kenyataan itu juga, KPM masih belum menjawab isu beg berat murid sekolah sedangkan perkara tersebut telah dibangkitkan hampir sebulan lalu.

“Meskipun banyak pihak termasuk pakar-pakar pendidikan dan kesihatan yang memberikan pandangan dan cadangan agar langkah segera diambil oleh KPM, malangnya KPM masih belum mengambil sebarang tindakan.

“JKPPH berharap cadangan ini boleh dipertimbangkan oleh KPM dan menggesa KPM bertindak segera menjelang pembukaan sekolah sesi 2022/2023,” ujar kenyataan itu.

 

Previous Post Next Post