Isu keracunan murid tidak serius alasan sekolah tidak maklum kepada ibu bapa

Kenyataan rasmi yang dimuat naik di facebook rasmi Sekolah Izzuddin Shah berhubung isu keracunan makanan serta perkongsian yang tular di media sosial mengenai kes keracunan makanan membabitkan pelajar Sekolah Izzuddin Shah.

IPOH - [DIKEMASKINI] Masalah keracunan makanan yang dialami pelajar Sekolah Izzuddin Shah di sini telah didiagnosis sebagai tidak kritikal menyebabkan ibu bapa tidak dimaklumkan berkenaan isu itu. 

Pengetua sekolah, Ahmad Munawir Salehuddin berkata, pengurusan sekolah telah mengambil langkah sewajarnya dalam perkara itu termasuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan pemantauan daripada warden-warden. 

Menurutnya, sebagai menghormati jabatan rasmi kerajaan yang sedang menjalankan siasatan, pihak sekolah tidak boleh membuat sebarang kenyataan lain kepada pihak luar termasuk ibu bapa tanpa fakta yang tepat kerana dibimbangi mengundang masalah lain. 

Pihak sekolah mempunyai standard pengurusan bencana yang jelas dan sentiasa dipantau agensi-agensi luar. Oleh sebab itu, sebarang bencana yang berlaku kami tidak simpan dan rahsiakan apabila pihak kesihatan terus dimaklum keesokan harinya. 

Pihak sekolah berharap agar ibu bapa diluar sana terus percaya pada pengurusan sekolah mahupun warden-warden yang sentiasa memantau kesihatan anak-anak, katanya. 

Perkara itu dijelaskan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di facebook rasmi Sekolah Izzuddin Shah pada Isnin susulan tular di media sosial. 

Dalam kenyataan tular itu, seorang bapa meluahkan rasa terkilan, kecewa dan sedih apabila tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar di bilik sakit sekolah selama tiga hari sejak Rabu akibat keracunan makanan. 

Perkara itu hanya diketahui selepas anaknya sendiri menghubunginya pada Jumaat lepas setelah keadaan beransur pulih. 

Perkongsian yang tular di media sosial mengenai kes keracunan makanan membabitkan pelajar Sekolah Izzuddin Shah. 

Mengulas lanjut, Ahmad Munawir berkata, simptom awal dikesan pada Rabu lepas daripada seorang pelajar tingkatan 4 yang mengalami cirit birit. 
Perkongsian yang tular di media sosial mengenai kes keracunan makanan membabitkan pelajar Sekolah Izzuddin Shah.


Katanya, pada hari sama sebelah petang, kes itu bertambah menyebabkan warden telah mengisolasi mereka yang terlibat di bilik sakit dengan pemantauan rapi selain memaklumkan perkara itu kepada polis melalui pegawai perhubungan sekolah. 

Pada Khamis, pengurusan sekolah telah mengumpul lagi pelajar yang mengalami simptom sama untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Greentown dan kesemua mereka telah didiagnosis sebagai tidak kririkal. 

Pada hari yang sama juga, Pejabat Kesihatan Daerah telah turun ke sekolah untuk membuat siasatan dengan membuat pemeriksaan dapur, mengambil sampel makanan dan menilai tahap kebersihan, katanya. 

Susulan kejadian itu, pelajar terlibat diberikan cuti rehat selama satu hari pada Khamis dan sekolah telah memberi cuti sehari tambahan pada hari Jumaat supaya rehat mereka terus bersambung sehingga hari minggu.

 

Previous Post Next Post