Kumpulan ibu bapa gesa sekolah aliran Bahasa Inggeris diwujudkan di setiap negeri

Noor Azimah Abdul Rahim dan Mak Chee Kin menegaskan bahawa DLP mesti diteruskan.


PETALING JAYA: Setiap negeri harus mempunyai sebuah sekolah beraliran Bahasa Inggeris yang membolehkan murid-muridnya menjadi guru bahasa itu nanti, kata kumpulan ibu bapa.

“Ini akan memastikan aliran guru mahir Bahasa Inggeris yang konsisten,” kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meningkatkan Program Dwibahasa (DLP) dengan memberikan kuasa dan skop yang lebih besar kepada unit Bahasa Inggerisnya.

DLP berdepan pelbagai halangan sejak ia diperkenalkan pada 2016 untuk menawarkan murid pilihan mempelajari mata pelajaran tertentu dalam Bahasa Inggeris.

Program ini ditawarkan di sekolah menengah terpilih sahaja dan ia mengalami masalah tempat yang terhad dan kekurangan guru berkelayakan.

Ketua sebuah kumpulan ibu bapa lain, Mak Chee Kin, mencadangkan guru bersara yang cekap dalam DLP diambil semula bekerja secara kontrak.

“Tugas mereka hanya mengajar tanpa perlu menyiapkan kertas kerja atau data,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) itu yakin ramai bekas guru akan kembali menawarkan perkhidmatan mereka.

Perancangan dan penyelarasan yang lebih baik diperlukan bagi kelancaran pelaksanaan DLP, katanya.

Noor Azimah dan Mak mengeluh bahawa KPM bersikap “acuh tak acuh” terhadap DLP, namun menegaskan ia mesti diteruskan disebabkan faedah jangka panjangnya untuk murid.

Mereka mengulas pandangan seorang kolumnis FMT bahawa masalah DLP mungkin akan memuncak tahun depan disebabkan perancangan dan pelaksanaan yang buruk.

Azimah, yang menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris berkata, KPM mesti bertanggungjawab atas kegagalan program itu. Beliau menggesa agar tindakan segera diambil untuk menawarkan guru latihan yang mantap, bermakna dan bersasar.

Azimah dan Mak bersetuju bahawa DLP perlu diteruskan kerana terdapat permintaan baginya, terutamanya di sekolah menengah.

“Ibu bapa mahukan DLP untuk anak-anak kerana mereka percaya akan faedahnya,” kata Azimah.

 

1 Comments

  1. Dah pencen cukup lah.. Tak larat dah.. Pencen masa nak rehat..

    ReplyDelete
Previous Post Next Post