Pinda akta benar guru DG48 ke atas kembali berpersatuan

Ismail Sabri berucap pada Majlis Penyampaian pampasan bekas pekerja Perwaja di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Chukai: Kerajaan akan meminda peruntukan bagi membolehkan guru gred DG48 ke atas yang tidak terbabit dalam pentadbiran dibenarkan aktif dalam kesatuan. 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan rayuan daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang meminta supaya guru gred 48 ke atas dibenarkan berpersatuan kembali. 

"Saya sudah menghubungi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali supaya perkara ini dipinda semula supaya guru-guru yang tidak terbabit dengan pentadbiran boleh berpersatuan. 

"Saya percaya (guru) yang terbabit dengan pentadbiran yang boleh mempengaruhi keputusan dan sebagainya di bawah akta pun memang tidak dibenarkan.

"(Tetapi) seperti yang saya sebutkan, kerajaan hari ini komited untuk bersama-sama dengan pekerja," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Pampasan Bekas Pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd di Dewan Pejabat Umno Bahagian Kemaman, di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, seramai 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd yang ditamatkan perkhidmatan pada November 2014 menerima pampasan antara RM3,000 hingga RM21,000 dengan nilai pampasan keseluruhan sebanyak RM8.645 juta.

Previous Post Next Post