Tidak perlu sekolah aliran Inggeris, hanya lebarkan jurang pendidikan

Imej hiasan

PETALING JAYA: Sebuah persatuan guru menolak cadangan kumpulan ibu bapa yang mahu sekolah beraliran Bahasa Inggeris diwujudkan di setiap negeri, sambil menegaskan ia hanya akan melebarkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan, berkata, diskriminasi itu akhirnya akan menutup peluang murid daripada keluarga berpendapatan rendah sedangkan sistem pendidikan perlu adil dan saksama bagi semua orang.

“IGuru tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia dan mesti dikuasai murid-murid terutama untuk mereka belajar dalam bidang sains dan teknologi.

“(Namun) pengajaran Bahasa Inggeris perlu ditumpukan kepada aspek komunikasi dan bukan difokuskan kepada berkonsepkan peperiksaan di Tahap 1 (Darjah 1,2,3),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penguasaan murid terhadap Bahasa Inggeris perlu ditingkatkan menerusi program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dengan penekanan kepada penyediaan tenaga pakar, prasarana dan kesediaan murid.

“KPM perlu kembali memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan murid dengan pendekatan yang lebih akomodatif, konstruktif, dinamik dan holistik,” katanya.

FMT sebelum ini melaporkan kumpulan ibu bapa mencadangkan agar setiap negeri mempunyai sebuah sekolah beraliran Bahasa Inggeris yang membolehkan murid-muridnya menjadi guru bahasa itu nanti.

“Ini akan memastikan aliran guru mahir Bahasa Inggeris yang konsisten,” kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim.

Cadangan itu menyusuli pendedahan Menteri Pendidikan Radzi Jidin bahawa guru mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam tidak mencukupi.

Mengulas lanjut, Azizee berkata, dalam usaha melahirkan murid yang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, KPM perlu memastikan penyediaan tenaga pakar guru mata pelajaran berkenaan, selain mengkaji keberkesanan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah.

“(Ini kerana) sebahagian guru Sains dan Matematik tidak menggunakan sepenuhnya Bahasa Inggeris di dalam kelas dan lebih selesa menggunakan bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar KPM mencari pendekatan baharu bagi pengajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan olahan terkini sesuai dengan perkembangan pembelajaran secara digital.

 

Post a Comment

0 Comments