Tiga murid Tingkatan 2, 3 maut motorsikal berlanggar sesama sendiri


Jeli: Tiga murid lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka berlanggar sesama sendiri di Kampung Sungai Satan di sini, malam tadi. 

Mereka yang terkorban dalam kejadian pada 9 malam itu adalah, Muhammad Nordanial Izuan Izaraman, 15, Muhamad Firdaus Mohd Azli, 15, dan Ahmad Tahfiz Irfan Ahmad Nasri, 14. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, seorang lagi remaja, Muhammad Aidid Darwisy Mohammad Azhary, 15, parah di kepala dan dirawat di Hospital Jeli. 

"Siasatan awal mendapati empat remaja berkenaan dipercayai menunggang motosikal masing-masing dengan laju dari arah Kampung Sungai Satan ke Jalan Malaysia, sebelum kenderaan itu bergesel sesama sendiri dan menyebabkan perlanggaran. 

"Seorang daripadanya maut di lokasi kejadian manakala, dua lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jeli," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Shuhaimi berkata, keadaan jalan kampung itu yang gelap juga menyumbang kepada kemalangan. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Previous Post Next Post