Ada jabatan kerajaan ‘culas’ laksanakan pekeliling


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya memantau setiap pekeliling yang sudah berkuat kuasa tetapi masih tidak dilaksanakan oleh sesetengah jabatan. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa jabatan yang dengan sengaja enggan melaksanakan pekeliling yang sudah dikuatkuasakan. 

Katanya, keengganan mana-mana jabatan untuk melaksanakan pekeliling yang sudah dikuatkuasakan akan memberi kesan buruk kepada kebajikan kakitangan awam yang bertugas di jabatan berkenaan. 

“Antara pekeliling yang sudah dikuatkuasakan dan dilihat tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya ialah tempoh kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan bagi pegawai kumpulan pelaksana. 

“Tindakan sesetengah jabatan yang tidak melaksanakan pekeliling ini sudah tentu memberi kesan motivasi kerja kepada penjawat awam,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, terdapat pekeliling lain yang turut tidak dilaksanakan, termasuk kebenaran penebusan awal award wang tunai gantian cuti rehat. 

“Ia masih lagi tidak dilaksanakan sedangkan pekeliling ini telah dikuatkuasakan bermula Januari 2022. Kelewatan pekeliling ini dilaksanakan seolah-olah manfaat yang patut diterima penjawat awam tidak diberikan keutamaan,” tegasnya. 

Justeru, katanya CUEPACS berharap JPA dapat menubuhkan suatu jawatankuasa untuk memantau setiap pelaksanaan pekeliling yang telah diluluskan oleh kerajaan. 

“Kerajaan sudah menggunakan banyak tenaga dan modal kerja bagi membuat sesuatu kajian kebolehlaksanaan sesuatu pekeliling. Adalah menjadi kerugian jika tiada jawatankuasa dalaman untuk mengaudit pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post