Kanak-kanak maut, 7 ahli keluarga cedera kemalangan

Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan di KM 85, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Alor Serdang, Setiu hari ini ketika dalam perjalanan pulang beraya ke kampung halaman - Foto NSTP/Ihsan PDRM

SETIU: Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala tujuh ahli keluarganya cedera selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 85, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Alor Serdang di sini, hari ini, ketika mereka dalam perjalanan pulang beraya ke kampung halaman.

Kemalangan maut membabitkan Muhammad Aidil Fitri Osman, 5, itu berlaku selepas van Toyota Hiace dipandu ibunya, Asmah Zakaria, 45, yang hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit di lokasi kejadian, sekitar jam 6.30 pagi.

Bapa mangsa, Osman Intan, 51, yang juga peniaga pakaian serta dua kakak dan seorang abangnya parah, manakala Asmah bersama dua lagi abang mangsa pula cedera ringan di kepala.

Adik-beradik Muhammad Aidil Fitri yang terbabit dalam kemalangan itu berusia dalam lingkungan 14 hingga 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, mangsa bersama tujuh ahli keluarganya itu dipercayai dalam perjalanan untuk beraya di Kuala Nerus dari rumah mereka di Kangar, Perlis.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, van Toyota Hiace Asmah dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

"Van dinaiki mereka kemudiannya terjatuh ke dalam parit sehingga menyebabkannya remuk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Afandi berkata, Muhammad Aidil Fitri disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Setiu di sini, pada 8.30 pagi.

"Kesemua tujuh mangsa yang cedera menerima rawatan di wad hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 

Previous Post Next Post