Beri jaminan guru COS diberi lantikan tetap - iGuru

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa Kementerian Pendidikan menangani nasib guru kontrak perkhidmatan (COS) dengan menyerap ke perjawatan tetap atau melanjutkan perkhidmatan kontrak.

Presidennya, Mohd. Azizee Hasan berkata, ini berikutan masih tiada pengumuman rasmi dari kementerian berhubung nasib guru kontrak tersebut.

Malah, katanya, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pula sekadar memaklumkan sudah ada perbincangan antara kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk diambil tindakan berkaitan hal tersebut.

“Dimaklumkan terdapat 2,506 guru kontrak yang ditamatkan kontrak perkhidmatan pendidikan pada Jun ini. Mereka adalah guru kontrak ambilan Jun 2020 di dalam bidang Sejarah, Pendidikan Jasmani, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

“Kita difahamkam guru kontrak ini sedang mengikuti pengajian diploma lepasan ijazah bidang pendidikan dan menandatangani perjanjian kerja kontrak dua tahun mereka pada 10 Jun 2020.

“iGuru menggesa kementerian segera menangani nasib guru kontrak dengan dua cadangan iaitu menyerap ke perjawatan tetap dengan membuat lantikan melalui SPP atau melanjutkan kontrak perkhidmatan mereka untuk tempoh tertentu dan diberi jaminan untuk lantikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd. Azizie, pengalaman guru COS semasa tempoh perkhidmatan kontrak perlu dimanfaatkan mengambil kira minat dan latihan semasa di sekolah serta minat di dalam pendidikan.

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Pendidikan sedang meneliti penyelesaian terbaik buat guru COS yang bakal tamat perkhidmatan pada Jun 2022 itu.

Beliau berkata, kementerian dan SPP sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuatkuasa dengan engumuman akan dibuat selepas proses tersebut selesai. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post